Jumaat, 7 Mac 2008

DULU ANTIPEMBANGKANG, SEKARANG KUTUK KERAJAAN


BERITA HARIAN – (07-03-2008)

GEORGETOWN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perbuatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memburuk-burukkan kerajaan pada sidang akhbar bersama media asing di Singapura, sebagai tidak bertanggungjawab.

"Dulu Anwar tidak suka pembangkang buat taktik seperti itu, tapi sekarang dia sendiri yang melakukannya," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, Anwar ketika menjadi menteri dulu, juga suka mengata parti pembangkang sampai tidak ada had.

"Sekarang, apabila beliau bukan lagi menteri, dia buat perkara yang sama tetapi kini mengutuk kerajaan pula," katanya pada sidang media selepas melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta menaikkan taraf dan pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Perdana Menteri diminta mengulas tindakan Anwar menyerang kepemimpinan negara yang disifatkan sebagai gagal ketika mengadakan sidang media di sebuah hotel di Singapura, kelmarin.

Ditanya sama ada kerajaan boleh menjamin harga minyak tidak dinaikkan tahun ini pula, Abdullah berkata, kerajaan akan cuba melakukan perkara terbaik dalam memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kesan kenaikan harga barang dunia, terutama minyak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan harus melihat harga pasaran dunia sebelum membuat sebarang keputusan.

"Bagaimanapun, kita sentiasa cuba meringankan beban yang dihadapi rakyat terutama memperbanyakkan lagi pemberian insentif seperti pendidikan percuma," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha menambahbaik status kesihatan penduduk dengan meningkatkan pelbagai kemudahan prasarana yang diperlukan rakyat.

Justeru, satu pelan tindakan sumber manusia dalam RMK-9 sebanyak RM1 bilion diperuntukkan dalam penjagaan kesihatan.

Selain itu, kerajaan meluluskan banyak projek baru dan projek menaik taraf kemudahan kesihatan di Pulau Pinang sebanyak RM472 juta.

Antara projek berkenaan ialah projek menaik taraf HPP yang membabitkan peruntukan sebanyak RM110 juta yang dijangka siap dalam tempoh setahun.

0 ulasan: