Isnin, 17 Mac 2008

MELAYU ANTI-ESTABLISMENT MUDAH LUPA


UTUSAN MALAYISA – (17-03-2008)

BUKAN niat untuk mempromosi. Sesiapa yang masih lagi mengaku orang Melayu, pergi beli dan carilah buku bertajuk Melayu Mudah Lupa tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Buku itu adalah teks ucapan penuh semasa penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO pada 23 Jun 2001.

Ucapan penggulungan itu diakhiri dengan sajak yang yang tajuknya sama dengan tajuk ucapan dasar iaitu Melayu Mudah Lupa.

Itu cerita di tahun 2001. Tetapi buku tersebut masih relevan sampai bila-bila kerana ia membicarakan nasib orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka lagi dan cabaran yang telah dihadapi oleh orang Melayu.

Peristiwa hitam 8 Mac 2008 telah menyaksikan dan membuktikan dengan sahihnya bahawa orang Melayu masih lagi lena dibuai mimpi. Apakah mereka masih lupa atau sengaja buat-buat lupa? Mereka lupa sejarah bangsa. Mereka leka dengan kehidupan mewah dan serba moden kononnya mereka penampil imej orang Melayu di abad ke-21.

Ketika membelek semula apa yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir hampir lapan tahun yang lalu, jelas sekali Melayu mudah sangat lupa dan buta sejarah bangsa. Mereka masih tidak serik dan hanya memikirkan suasana semasa sahaja tanpa memikirkan masa depan dan pengalaman silam orang Melayu untuk memartabatkan imej dan keagungan orang Melayu di tahap sekarang.

Mungkinkah orang Melayu memerlukan revolusi mental demi memperkasakan lagi perpaduan dan melahirkan generasi yang berpengetahuan, rasional dan dinamis.

Sebelum tahun 1969, orang Cina menguasai sepenuhnya aktiviti ekonomi dan perniagaan negara. Orang Melayu lebih layak digelarkan pada masa itu hanya mempunyai kuasa politik dan institusi raja sahaja. Kaum India pula layak sebagai pekerja estet dan buruh. Begitu hebat pengaruh 'pecah dan perintah' yang diilhamkan oleh penjajah Inggeris.

Selepas peristiwa hitam 1969, orang Melayu telah diberi peluang untuk menceburi bidang perniagaan dan pembangunan sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan agihan kekayaan negara agar dapat dinikmati sama rata oleh semua kaum.

Allahyarham Tun Abdul Razak pernah berkata, ada beberapa sebab mengapa orang Melayu tidak dapat menyertai sepenuhnya usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial. Antaranya ialah kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot.

Kini, apabila segala usaha telah dilakukan untuk memajukan orang Melayu dalam segala segi dan aspek pembangunan, pelajaran, ekonomi, sosial dan politik, orang Melayu sudah mula lupa diri asal usul mereka dahulu.

Inilah arus perubahan yang ketara yang lebih tepat diungkapkan Melayu mudah sangat lupa diri dan sejarah bangsa.

Ramai sangat orang Melayu yang sudah menjadi 'kacang lupakan kulit' terutamanya yang telah berjaya dalam kehidupan. Pengaruh materialistik telah menghalalkan mereka untuk 'membunuh' dan meminggirkan kaum sebangsa sendiri. Akibat sanggup terlalu liberal dan mudah bertolak ansur, kini orang Cina bukan sahaja tidak boleh digugat penguasaan mereka dalam sektor ekonomi, malah sudah mula bertapak untuk menguasai politik negara pula.

DAP kini sudah mula menonjolkan siapa diri mereka yang sebenarnya. Mereka seperti sebuah gunung berapi yang telah lama menahan larva yang panas untuk diledakkan dengan sekuat hatinya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu, sekalung tahniah kepada orang Melayu yang anti-establishment yang memainkan peranan besar menumbangkan BN di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Teruskan perbuatan anda lima tahun dari sekarang. Ketika itu nanti, barulah tahu langit itu tinggi atau rendah.

Jika orang Melayu tidak sedar lagi bahaya yang sedang dihadapi, bermakna masa depan anak cucu kita sudah pun direncanakan secara kekal di arus perjalanan politik, sosial dan ekonomi negara. Politik Melayu akan mengalami zaman kehancuran sedikit demi sedikit.

Tiada faedahnya menjadi anti-establishment hanya semata-mata ingin dilihat sebagai golongan celik dan cerdik dari segi kesedaran hak untuk memilih pemerintah negara.

Orang Melayu penyokong Pas dan PKR hanya pandai menunjukkan kehebatan politik demonstrasi jalanan dan keseronokan berpesta pilihan raya. Tetapi DAP menunjukkan kehebatan menerusi penyatuan undi Cina dengan memperlekeh rakan kongsi mereka iaitu PKR dan Pas.

DAP berjaya meraih undi orang Melayu agar mereka beroleh kemenangan dan berkuasa. Atas nama pakatan pembangkang yang sebenarnya memberi keuntungan yang berlipat kali ganda kepada DAP, penyokong Pas dan PKR kini pasti menyesal di atas perbuatan mereka.

Orang Melayu sendiri yang mencabul dan memperkosa kepimpinan bangsanya sendiri atas alasan mahukan perubahan dan demokrasi.

Mengapa Melayu mudah sangat lupa? Mengapa mudah sangat terlena? Kuasa politik bukannya perkara mainan. Cetek ilmu kerana malas membaca telah membuatkan orang Melayu tidak tahu sejarah kuasa politik negara.

0 ulasan: