Khamis, 20 Mac 2008

POLITIKUS PERLU SELAMI FIKIRAN ORANG MUDA


HARAKAH – (19-03-2008)

Ramai rakyat di kalangan intelektual, profesional dan penganalisis politik berpendapat bahawa salah satu sebab besar yang menyumbang kepada kekalahan teruk BN dalam PRU Ke-12 adalah sikap media massa (tentunya di bawah arahan pihak atasan) yang terlalu melampau menyerang pihak pembangkang.

Media tidak henti-henti menyiarkan propaganda BN dalam pelbagai bentuk. Mereka menyiarkan rencana, berita, temu ramah, iklan dan sebagainya yang seluruhnya memfokuskan kelebihan BN, sementara parti pembangkang, khususnya PAS, digambarkan paling buruk.

Ini biasa dilakukan di setiap kali pilihan raya, namun kali ini (dalam PRU Ke-12) media massa begitu berhabis-habisan mengecam pembangkang dan memuji BN.

Hampir semua orang mengetahui keadaan ini dan kebanyakannya beranggapan bahawa langkah media massa ini telah 'over kill' terhadap parti pembangkang. Dan ini 'back-fire' kepada BN sendiri.

Penonton yang melihat TV dan membaca akhbar arus perdana merasakan realiti yang amat jauh berbeza dengan yang digambarkan dalam media massa arus perdana. Di tengah-tengah masyarakat terbentang masalah harga barang dan minyak yang naik, rasuah, pemborosan belanja wang negara, pemimpin yang lemah, pengabaian masalah rakyat.

Sementara yang tersiar dalam media massa arus perdana hanyalah segala puji-pujian kepada BN dan ini sangat memualkan masyarakat. Ditambah dengan sikap media massa yang menggelapkan semua kegiatan pembangkang. Ini menyebabkan sesetengah pembaca dan pendengar tidak lagi melihat TV dan juga tidak lagi membaca akhbar arus perdana beberapa minggu lamanya, sekurang-kurangnya sejak tempoh Parlimen dibubarkan baru-baru ini.

Ertinya sumber maklumat yang digelapkan itu menimbulkan reaksi tidak puas hati rakyat kepada kerajaan BN. Maka rasa kecewa ini jelas telah diterjemahkan oleh rakyat melalui peti undi dan hasilnya adalah kekalahan teruk BN.

Rakyat tidak dapat maklumat seimbang, menyebabkan terjadi 'arus balik" (seperti dalam novel Pramoedya Anantatoer, kata Dr Abu Hassan yang menjadi salah seorang pengulas keputusan pilihan raya di salah sebuah saluran TV, selepas mengetahui banyak keputusan PRU Ke-12 yang mengejutkan pada larut malam 8 Mac itu.

Saya tertarik dengan ulasannya yang sangat objektif, ilmiah dan terbuka bahawa rakyat, di mana-manapun di seluruh dunia, sangat menghendaki maklumat yang segera, terbuka, objektif dan seimbang. Katanya, mereka mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di tengah-tengah masyarakat.

Malangnya, kata Dr Abu Hassan, maklumat segera seperti ini tidak diperoleh daripada media massa arus perdana dalam tempuh PRU Ke-12 itu. Maka orang ramai 'berpatah balik', lalu mereka mencari maklumat melalui saluran lain.

Maka dengan suasana 'langit terbuka', dengan luasnya penggunaan internet yang di dalamnya ada web-site, pelbagai blog, sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, maka orang ramai mendapat maklumat daripada sumber baru ini, lalu dari situ mereka membentuk sikap dan pemikiran, lalu diterjemahkan dalam peti undi.

Demikian intisari pandangan Dr Abu Hassan yang sangat luas pengetahuannya mengenai dunia komunikasi. Kepada saya, jelas bahawa dalam keghairahan hendak mengekalkan hegemoni kuasa politik mereka, pemimpin BN mungkin lupa atau terlepas pandang, ataupun tidak memahami akan suasana moden yang ada sekarang, di mana masyarakat telah terdedah kepada saluran maklumat yang pelbagai dan pantas seperti yang disebutkan.

Ataupun mereka ini 'ketinggalan zaman', ataupun enggan mengakui perkembangan terkini yang ada di dalam dunia komunikasi moden dan pengaruhnya kepada pemikiran masyarakat. Malah tidak kurang pula kalangan yang memperkeleh kehadiran dan pengaruh web-site, pelbagai blog dan sebagainya.

Golongan ini masih percaya 100 seratus bahawa hanya saluran TV dan akhbar arus perdana saja yang berpengaruh dan boleh digunakan untuk mempengaruhi pandangan masyarakat.

Ternyata pandangan ini salah. Kegagalan memahami situasi masyarakat moden ini yang terdedah dengan dunia siber, khususnya di bandar, yang kebanyakannya terdiri daripada generasi baru yang lahir selepas merdeka, menyebabkan golongan yang ketinggalan ini sangat terkejut dan kecewa dengan keputusan PRU Ke-12.

Dalam hubungan ini saya tertarik dengan ulasan seorang lagi pengulas politik di TV, Dr Agus Mohamad Yusuf mengenai PRU Ke-12 ini. Menurut tokoh penganalisis politik berwibawa ini bahawa generasi baru sangat jauh berbeza dengan masyarakat generasi lama.

Generasi baru ini, katanya, terdedah dengan pelbagai maklumat terkini dan ilmu pengetahuan, sehingga mereka mampu membentuk pemikiran sendiri, bebas dalam sebarang bentuk pengaruh.

Generasi baru ini, dengan pendedahan sedemikian rupa, katanya, adalah generasi yang 'bebas merdeka' yang tidak boleh dipengaruhi atau pujuk rayu oleh sesiapa.

Kata Dr Agus, mereka bebas hendak menyokong mana-mana-mana parti politik yang meyakinkan mereka dari segi falsafah perjuangan, ketrampilan, prestasi dan ketokohan pemimpin sesebuah parti politik itu.

Saya sendiri yakin, generasi baru seperti adalah antara yang menjadi pengundi PRU Ke-12 dan tidak menghairankan keputusan PRU Ke-12 ini bertentangan dengan kehendak golongan tertentu.

Rumusan yang boleh diambil daripada suasana seperti ini dan natijah keputusan PRU Ke-12 ini adalah bahawa pemimpin dan pendukung mana-mana parti politik sangat perlu memahami aspirasi masyarakat terkini dan tidak bersikap mudah untuk mengambil sebarang kesimpulan mengenai pemikiran masyarakat di tengah-tengah mereka.

Justeru,sesebuah parti politik, betapapun lama wujud dan berpengalaman memerintah, namun belum tentu berjaya jika tidak benar-benar memahami aspirasi masyarakat, khususnya, masyarakat moden.

Sesungguhnya banyak pengajaran yang boleh direnungkan hasil keputusan PRU Ke-12 ini dan sekali gus menggambarkan bahwa inilah makna demokrasi dan demokrasi kini telah mengambil haknya yang sebenar.

Tahniah kepada calon yang menang dan jangan bersedih kepada yang kalah. Inilah wajah dan hati nurani demokrasi.

0 ulasan: