Jumaat, 7 Mac 2008

HARAKAH : MANIFESTO TAMBAHAN BN KELANTAN TIRU PROJEK DAN PROGRAM PAS


HARAKAH – (07-03-2008)

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Umno-BN Kelantan kini sedang ghairah ingin menakluki negeri serambi Mekah, Kelantan dengan melancarkan manifesto tambahannya bagi memancing undi rakyat negeri itu supaya memberi peluang kepada mereka.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Jawatakuasa Penggubal Manifesto PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata ia tidak mungkin dapat direalisasikan lantaran kelemahan mereka yang terzahir daripada manifesto yang dilancarkan.

"Manifesto BN dilancarkan lewat seminggu daripada PAS merupakan 'copyright' kepada projek dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PAS sebelum ini. Cuma diubah namanya sahaja," ujarnya ketika ditemui Harakah.

Tegasnya, manifesto tersebut tidak menyentuh kepentingan dan keperluan sebenar rakyat. Hal ini jelas dibuktikan berdasarkan hal yang berkaitan dengan orang kurang upaya (OKU) serta program latihan yang dinyatakan tetapi tidak diberikan penjelasan mengenainya.

"Mereka juga berjanji di atas projek yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan PAS. Umno-BN tidak berasa malu ke?" ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat tidak menafikan pendekatan yang digunakan seolah-olah cuba memperlihatkan nikmat pembangunan kepada rakyat, namun ia seharusnya lebih mengutamakan hak rakyat yang lebih mesra dan memudahkan mereka.

Bahkan terdapat percanggahan fakta di dalam manifesto tersebut, iaitu mengenai fakta kadar kemiskinan dengan fakta yang pernah disebutkan sebelum ini.

"Dulu Umno-BN menyatakan bahawa kadar kemiskinan tegar di Kelantan adalah 25,000 tapi dalam manifesto ini 7,000. Ini adalah percanggahan fakta yang jelas.

"Adakah mereka mahu mempermainkan rakyat dengan angka pula selepas menipu mengenai tarikh sebenar pembubaran parlimen sebelum ini? Tidak cukup lagi kah?" katanya.

Mengulas mengenai usaha 'merakyat pembangunan', Wan Nik mendakwa hasrat Umno-BN yang mahu menghapuskan cukai pintu dan menurunkan bayaran tempat letak kereta di Kota Bharu sehingga lima tahun adalah merupakan perkara yang tidak boleh mengubah taraf sosio ekonomi rakyat.

"Ia sekadar perkara kecil, bukankah BN selalu bercakap besar menyatakan mereka mempunyai peruntukan yang besar daripada kerajaan pusat? Takkanlah sekadar itu sahaja?" katanya lagi.

Manifesto tambahan BN Kelantan yang bertemakan 'Kelantan Baru-Kelantan Maju 2008' itu ujarnya adalah merangkumi 10 teras yang mana tiga daripadanya merupakan agenda di peringkat nasional, manakala tujuh lagi telahpun diagendakan oleh kerajaan PAS sebelum ini.

"Sebahagian besar daripadanya telah dilaksanakan oleh kerajaan PAS, termasuk yang sedang dibuat," demikian ujarnya mengulas mengenai hal tersebut.

PAS Kelantan telah melancarkan Manifesto PAS yang bertemakan 'Membangun Bersama Islam, Menerajui Perubahan Mencapai Keberkatan,' pada 25 Februari lalu yakni sehari selepas hari penamaan calon.

0 ulasan: