Rabu, 19 Mac 2008

NAFAS BARU PERKUAT UMNO KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – (19-03-2008)

KOTA BHARU – Setelah jatuhnya berapa negeri secara mengejut ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu, tumpuan yang selama ini diberikan kepada Kelantan, seakan sudah beralih arah.

Ada yang beranggapan Kelantan bagaikan tidak lagi relevan bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam percaturan politik nasional kerana setelah segala usaha dilakukan untuk memenangi hati rakyat, Pas terus diberi mandat buat penggal kelima.

Malah, Pas kembali diberi mandat yang besar oleh rakyat tanpa menghiraukan apa yang disumbangkan dan dijanjikan oleh BN untuk kepentingan mereka atau negeri dan mempedulikan khidmat yang dicurahkan termasuk oleh wakil-wakil rakyat BN.

Justeru ia memberi gambaran bahawa usaha memenangi hati rakyat tidak harus disandarkan dengan rekod perkhidmatan semata-mata kerana ia belum cukup menyentuh emosi mereka untuk menghargai dan memangkah calon BN.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, kekalahan yang berterusan itu tidak harus melunturkan semangat semua pemimpin sehingga merasa putus asas.

“Pas di Kedah gagal 11 kali, tetapi ia terus berusaha dan akhirnya berjaya membentuk kerajaan. Saya yakin apabila kita percaya terhadap parti yang kita dukung, perjuangan akan diteruskan dalam apa jua keadaan dan bagi orang politik sebenar, tiada istilah ‘patah semangat’,” katanya.

Walaupun Kelantan turut dilanda tsunami politik nasional yang begitu kuat namun BN menerima undian daripada 271,736 rakyat, jumlah yang melonjak berbanding pilihan raya 2004 dengan sejumlah 265,377 undian walaupun ketika itu banyak ‘feel good factor’.

Sokongan

“Sokongan rakyat sebenarnya tidak terhakis malah terus bertambah, cuma Pas mengalami lonjakan lebih besar dan ini banyak kaitan dengan pendirian 112,142 pengundi yang buat pertama kali mengundi dan strategi Pas untuk bangkit semula,” ujarnya.

Tentunya strategi yang dilakukan tanpa menolak usaha memindahkan pengundi dari luar Kelantan dan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain dalam negeri melalui perancangan yang bijak dan tersusun.

Sememangnya politik adalah percaturan antara siapa yang lebih bijak dan pintar.

Selain dirempuh gelombang itu, Annuar mengakui ada permasalahan yang turut memburukkan lagi pencapaian UMNO dan BN Kelantan - tentunya berhubung dengan tahap kesiapsiagaan.

Ini termasuklah beberapa halangan dalam pengurusan pilihan raya, termasuk urusan pengundian yang gagal secara total kerana beberapa keputusan dibuat di luar keputusan UMNO negeri.

Juga soal dana yang terlalu bergantung kepada Pusat yang tidak selari dengan perancangan menggerakkan jentera di samping pengurusan jentera yang terencat dalam perjalanan.

Dengan kedudukan parti yang semakin rapuh, Annuar sedar perlunya UMNO Kelantan diperkasakan melalui satu penyusunan semula dengan menampilkan lebih banyak muka baru bersama tenaga baru.

Sehubungan itu ruang yang lebih luas perlu dibuka oleh para pemimpin lama di semua peringkat jika mengharapkan UMNO mendapat nafas baru yang menyegarkan.

Bagi mereka yang sudah tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi atau sudah keletihan dan tiada lagi semangat untuk memperjuangkan masa depan parti, tentunya ini masa yang sewajarnya untuk berundur jika bukan kepentingan peribadi yang dikejar.

Apakah terlalu sukar untuk melakukannya dengan tertib bukan rajuk, dengan berhemah, bukan memusnah melalui pendekatan muafakat bagi proses pembaharuan berlaku dalam UMNO jika benar mengharapkan kemenangan?

0 ulasan: