Jumaat, 7 Mac 2008

PENGAYUH BECA KESAL DENGAN PAS


BERITA HARIAN – (07-03-2008)

KOTA BHARU: Seorang pengayuh beca, Abdul Rahman Konok, 65, kecewa dengan sikap Kerajaan Pas Kelantan yang dilihatnya gagal membela nasib masa depan pengayuh beca.

Beliau yang cacat anggota, dilahirkan tanpa tangan kanan, berkata sejak Pas memerintah negeri ini, beliau tidak pernah mendapat bantuan daripada kerajaan negeri bagi meringankan bebannya.

Katanya, bantuan yang diterimanya setakat ini hanyalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan dan jumlah itu tidak cukup untuk keperluan harian keluarganya.

"Kerajaan Pas bagaikan mengabaikan nasib pengayuh beca negeri ini tanpa memberi perhatian khusus, sedangkan beca menjadi pengangkutan bersejarah di negeri ini.

"Sejak memulakan kerja sebagai pengayuh beca ini kira-kira 45 tahun lalu, saya tidak pernah mendapat sebarang bantuan termasuk daripada kerajaan negeri sekarang yang melaungkan negara kebajikan," katanya.

Kegigihan Abdul Rahman, menggunakan hanya sebelah tangan untuk mengayuh becanya amat menakjubkan kerana tangan itu juga memegang pemegang beca serta brek.

Abdul Rahman berkata, pengayuh beca di Kelantan kini berhadapan dengan zaman malap kerana orang ramai lebih gemar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

0 ulasan: