Sabtu, 22 Mac 2008

EGM UMNO : TUN SOKONG KU LI


HARAKAH : 22-03-2008

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong saranan tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah agar Umno menganjurkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya 8 Mac.

"Saya dimaklumkan Tengku Razaleigh telah menulis surat kepada semua bahagian menggesa mereka meluluskan usul untuk menganjurkan EGM untuk membincangkan masalah-masalah melibatkan Melayu. Saya sokongan cadangan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun 'tidak memihak' apabila Tengku Razaleigh ingin mencabar presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti diumumkan kelmarin.

Ditanya kali kedua persoalan yang sama, bekas presiden Umno itu berkata: "Jika saya menyokongnya untuk jawatan presiden, calon-calon lain akan minta sokongan juga".

"Soal memilih presiden baru sepatutnya dibincang selepas kita menyelesaikan masalah kita. Kerana mungkin juga calon lain berminat pada jawatan itu," katanya di sidang media di Carcosa Seri Negara selepas satu majlis pelancaran buku petang tadi.

"Lagi pun, untuk melayakkan bertanding presiden Umno, beliau (Tengku Razaleigh) memerlukan sokongan daripada 60 bahagian. Saya tidak fikir 60 bahagian berani menyokongnya."

Tengku Razaleigh mengisytiharkan kesediaannya mencabar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Parlimen Gua Musang gagal memperolehi sokongan pada 2004 walaupun menyatakan bertanding. Beliau hanya mendapat satu sokongan sahaja - daripada bahagiannya sendiri, Gua Musang.

Dalam perkembangan di luar dugaan hari ini, naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong saranan Tengku Razaleigh dengan syarat "ia dijalankan mengikut perlembagaan parti" dan "tidak melemahkan Umno".

Dr Mahathir, mengulas kebimbangan akan wujud perpecahan jika ada pertandingan seperti yang dialami pada 1987 dan 1999, berkata perkara itu tidak berbangkit sekarang.

"Semasa yang presiden dan Perdana Menteri, Umno berpecah dua kali," akuinya.

"Akibatnya, muncul Semangat 46 dan KeADILan. Walaupun mengalami perpecahan, Umno mampu bersatu semula dan ketika pilihanraya umum 2004, kita dalam keadaan padu.

"BN menang 90 peratus kerusi dan itu bermakna pengundi tidak memilih KeADILan."

Walaupun perpecahan tidak elok untuk parti, jelasnya, tetapi perbahasan terbuka itu penting.

"Malangnya, suasana kini tidak mengizinkan pertentangan idea atau perbincangan. Ahli-ahli sekarang takut bersuara, bimbang hilang kedudukan dalam kerajaan, bahagian dan malah cawangan."

Halangan bersuara itu, tambahnya, bukanlah cara Umno.

"Sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), Umno sentiasa mewujudkan budaya berbeza pandangan. Ketika presiden pertama Datuk Onn (Jaafar) mahu menjadikan Umno parti berbilang kaum, ahli-ahli membantah. Dan beliau menarik diri.

"Dan ketika saya membuat masalah pada Tunku, beliau menarik diri dan Umno kekal bersatu."

Jadi akibat ruang bersuara yang terbatas, ramai anggota Umno menyokong pembangkang sebagai melahirkan bantahan, katanya.

"Ia bukan bermakna mereka menyokong pembangkang, tetapi kerana mereka menentang pucuk pimpinan," kata Dr Mahathir lagi.

Untuk menghalang gejala ini, beliau mengesyorkan ditubuhkan satu jawatankuasa peringkat presiden untuk mengawal pemimpin nombor satu itu. Kalau tidak, terlalu banyak kuasa di tangan seorang pemimpin, hujahnya.

Bekas negarawan itu turut bersetuju dengan idea menghadkan jawatan Presiden Umno. Tetapi, tambahnya, peralihan itu tidak bererti bapa mertua menyerahkan jawatannya kepada menantu sendiri - dengan jelas merujuk hubungan Abdullah dengan Khairy Jamaluddin, (Naib Ketua Pemuda Umno).

0 ulasan: