Selasa, 18 Mac 2008

DEB PERCANGGAHAN DI SELANGOR DAN PERAK


UTUSAN MALAYSIA – (18-03-2008)

KUALA LUMPUR 17 Mac – Pakatan pembangkang hari ini memperlihatkan perbezaan pendapat yang ketara apabila kerajaan pimpinan mereka di dua negeri tidak sehaluan berhubung pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketika Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahu meneruskan pelan pembangunan kerajaan terdahulu termasuk pelaksanaan DEB, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula bertegas dasar itu tidak perlu dilanjutkan.

Di KUALA KANGSAR, Mohammad Nizar berkata, Kerajaan Negeri Perak yang baru akan meneruskan projek dan pelan pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini termasuk DEB tetapi ia tidak akan melaksanakan hukum hudud yang pernah diperjuangkan oleh pimpinan Pas di Perak.

Katanya, isu pelaksanaan hukum hudud dan penghapusan DEB tidak timbul sama sekali dalam kerajaan campuran yang diterajui DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

‘‘Hukum hudud tidak timbul di negeri Perak dan kita tidak menghapuskan DEB. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun tidak menyatakan (menghapuskan DEB).

‘‘Oleh itu, mana-mana dasar yang baik kepada rakyat akan diteruskan.

“Dasar yang ada diskriminasi akan dihentikan kerana kita mahu adil kepada semua kaum termasuk Orang Asli sekalipun,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pagi ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan manifesto yang dikemukakan semasa pilihan raya umum lalu.

Pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Mohammad Nizar berkata, projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan BN akan tetap diteruskan.

Di SHAH ALAM, Abdul Khalid pula berkata, DEB tidak perlu dilaksanakan kerana hanya golongan tertentu yang mendapat manfaat daripadanya.

Sambil mengakui beliau antara yang turut mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid mendakwa, ketika ini dasar berkenaan hanya mementingkan orang Melayu yang berada dalam lingkungan kepimpinan UMNO serta segelintir kaum Cina dan India yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan itu.

‘‘Terdapat pihak tertentu di Selangor mengatakan saya telah melupakan DEB kerana saya adalah antara mereka yang boleh ditonjolkan sebagai menerima rahmat daripada DEB.

‘‘Saya berterima kasih tentang penerimaan itu tetapi terdapat penyelewengan DEB selepas ia dilaksanakan pada 1970-an. Bila sampai 1990-an, kita dapati DEB disalahgunakan.

‘‘Pada saya, apa gunanya satu dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik,’’ kata Menteri Besar Selangor itu yang juga Setiausaha Agung PKR.

Abdul Khalid bercakap pada sidang akhbar bersama penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR termasuk calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor Jumaat lalu dilaporkan mendakwa DEB gagal memberi faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

Baginya, dasar yang diperkenalkan pada 1971 itu dan diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sekarang tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum.

Ekoran kenyataan itu, Abdul Khalid ditempelak oleh para pemimpin UMNO memandangkan beliau pernah terlibat melaksanakan DEB ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengendalikan skim Amanah Saham Nasional (ASN) serta Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Para pemimpin UMNO menegaskan, sebagai individu yang mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang menghina dan tidak menghormati orang Melayu.

Mengulas dakwaan itu, Abdul Khalid berkata, semasa menerajui PNB, beliau melaksanakan DEB secara menyeluruh dengan lebih lima juta orang Melayu mendapat manfaat daripadanya ketika beliau meninggalkan organisasi itu.

‘‘Namun, DEB selepas itu tidak lagi dibuat secara menyeluruh sebaliknya secara terpilih, itu yang menyebabkan saya mencadangkan tidak boleh lagi menggunakan DEB. Ia bukan sahaja mendiskriminasi kaum tetapi mendiskriminasi bangsa Melayu sendiri,’’ katanya.

Mengulas tuduhan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bahawa beliau umpama ‘kacang lupakan kulit’, wakil rakyat Ijok itu berkata: ‘‘Saya hendak betulkan ‘kacang dan kulitnya’ sekali supaya Selangor yang maju bererti maju untuk semua.’’

0 ulasan: