HARAKAH - (17-03-2008)
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang menuntut beliau berundur sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu Exco Pemuda Umno itu diambil tindakan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas parti itu.
Dalam suratnya kepada semua 193 Ketua Umno Bahagian, Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat itu menggesa diadakan perhimpunan agung khas itu untuk membincangkan masa depan parti itu berikutan keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu dan masa hadapan orang-orang Melayu.
Tengku Razaleigh mencadangkan perhimpunan agung khas Umno itu diadakan pada 11 Mei ini.
"Saya mencadangkan tarikh tersebut kerana ia adalah hari ulang tahun (penubuhan) Umno," The Malaysian Insider memetik beliau.
Tokoh veteran Umno itu menyifatkan keputusan pilihan raya baru-baru ini "bukan sahaja memeranjatkan malah menakutkan".
"Dalam pilihan raya pertama pada tahun 1955, Umno menguasai dua pertiga kerusi Parlimen. Hari ini, kita adalah suara minoriti di Parlimen. Di peringkat persekutuan, Umno bukan lagi kuasa politik yang kuat. Saya hampir menitiskan air mata memikirkan senario ini," kata bekas Menteri Kewangan itu.
Beliau meminta di cari sebab mengapa pengundi Cina dan India menolak calon-calon MCA dan MIC.
"Mengapa calon-calon Umno yang mempertahankan jawatan ditewaskan oleh calon-calon PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS? Kita mesti mencari sebab mengapa...
"Jika tidak, di dalam pilihan raya akan datang, jika kita tidak mengubah polisi, budaya dan semangat kita di dalam BN (Barisan Nasional) dan Umno serta berubah dengan radikal, BN dan Umno mungkin tidak akan memerintah lagi," katanya.
Razaleigh dianggap oleh sebahagian pengkritik Abdullah sebagai tokoh yang boleh menyatukan Umno dan mendapatkan semula sokongan kaum Cina dan India.
0 ulasan:
Catat Ulasan