UTUSAN
SINGAPURA 5 Mac – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku beliau ialah kawan baik kepada bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.
Pemimpin pembangkang itu berkata, beliau tiada masalah untuk membuat pengakuan itu kerana Al Gore ialah salah seorang pemimpin yang menentang Perang
“Saya memang kawan Al Gore yang menentang Perang Teluk, ia sangat berbeza dengan Bush (Presiden AS, George W. Bush) yang mencetuskan perang itu,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Ekonomi Antarabangsa ‘Risk Minds Asia 2008’ di Hotel St. Regis di sini hari ini.
Ketika Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur pada 1998, Al Gore sewaktu menyampaikan ucapannya pada satu jamuan secara terbuka menyokong Anwar yang menggerakkan reformasi yang boleh mengancam keselamatan negara.
Anwar mendakwa, pemimpin Malaysia lain juga ada yang berkawan baik dengan pemimpin AS.
Menjawab satu soalan, Anwar mengakui beliau tidak menaikkan gaji guru dan tidak memperkenalkan dasar pendidikan percuma ketika menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1980-an.
Katanya, keputusan berhubung perkara itu adalah hak Kabinet.
“Soal kenaikan gaji adalah keputusan Kementerian Kewangan dan seterusnya diluluskan oleh Kabinet, bukan saya sebagai menteri,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Anwar seorang yang gemar berdolak-dalik dan tidak mengotakan janji berdasarkan prestasinya dalam kerajaan dahulu.
Abdullah memberikan contoh bagaimana Anwar sebagai Menteri Pelajaran tidak melaksanakan skim dua gaji menyebabkan gaji guru rendah, sukar naik pangkat dan guru-guru terpaksa menunggu skim pencen rendah.
0 ulasan:
Catat Ulasan