HARAKAH : 28-03-2008
KOTA BHARU, 28 Mac (Hrkh) - Hak-hak keistimewaan orang Melayu di negara ini sudah menjadi kontrak sosial yang difahami rakyat berbilang agama dan bangsa. Dan ia tidak perlu dipertikaikan lagi.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali berkata, kedudukan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Bangsa lain tidak boleh mengganggu kedudukan agama Islam selaras dengan peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Sebaliknya bangsa lain bebas menganuti agama mereka," katanya di sini baru-baru ini.
Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng dilaporkan tidak lagi mahu menerima pakai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hanya memberi keuntungan kepada segelintir orang Melayu sahaja.
Ibrahim yang juga Presiden Majlis Tindakan Takyat Kelantan berkata, mana-mana pihak tidak wajar mempertikaikan kontrak sosial orang Melayu yang sedia wujud di Malaysia.
"Kita sudah ada sosial kontrak. Oleh itu Islam diterima sebagai agama rasmi Persekutuan, demikian juga hak istimewa orang Melayu. Bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa yang menyatukan semua bangsa," katanya.
Ditanya mengenai kegagalan Umno dan Barisan Nasional mempertahankan penguasaan dua pertiga pada pilihan raya umum lalu katanya, kekalahan parti itu kerana rakyat tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian sekarang.
Menurutnya, kenaikan harga barangan mempengaruhi pola pengundian kali ini.
"Dan pilihan raya umum juga memperlihatkan imej Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak terjejas teruk. Dan kalau Umno mahu kuat semula kena pinda perlembagaan Umno bagi membuka ruang demokrasi," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan