UTUSAN
SETELAH sepenggal Datuk Ramzi Abdul Rahman, 50, menjadi wakil rakyat dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Dabong dalam Parlimen Kuala Krai, seorang penduduk membuat kesimpulan yang menarik.
‘‘Sukar nak percaya kalau orang Dabong tak kenal, tak pernah dengar nama Datuk Ramzi. Masa dia, Dabong sudah macam tidak berada di kawasan ulu lagi”, kata Ismail Jusoh, 53, ketika ditemui di Kampung Batu Kandis.
Memang wajah Dabong hari ini tidak seperti suatu ketika dahulu yang dianggap terpencil dan terputus hubungan dengan masyarakat luar sehinggakan ada kakitangan kerajaan yang dihantar bertugas di kawasan itu merasakan bagaikan ‘dibuang daerah.’
Rangkaian jalan yang menghubungkan Dabong dengan jajahan lain siap dibina dan sungai yang memisahkan penduduk dan menyukarkan lagi perhubungan sudah direntangi jambatan, manakala kemudahan telefon dapat dimanfaatkan menyeluruh.
Akhbar juga kini boleh ditatap semasa minum pagi berbanding ketibaan lewat petang kerana bergantung kepada jadual ketibaan kereta api dan peraih yang membawanya bersama.
Itu gambaran asas paling mudah mengenai perubahan Dabong apabila kerajaan menyalurkan kemudahan atas usaha Ramzi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sepanjang empat tahun lalu.
‘‘Menjadi azam saya untuk merubah keadaan hidup masyarakat di sini yang umumnya bergantung kepada pertanian dan ramai pula yang berada di bawah tahap kemiskinan.
‘‘Selain membantu meningkatkan taraf hidup mereka melalui pelbagai kegiatan ekonomi termasuk pelancongan, saya inginkan mereka juga terdedah kepada dunia luar dengan keupayaan menguasai teknologi maklumat.
‘‘Sehubungan itu, kita juga turut wujudkan Medan Info Desa supaya mereka bukan sahaja berpeluang belajar komputer tetapi juga dapat akses maklumat dengan mudah,’ ujarnya.
Katanya, beliau memberi tumpuan dan tindakan yang berkesan kepada aspek pembangunan modal insan di kawasan terbabit bermula di peringkat sekolah dengan penyaluran pelbagai bantuan untuk mengangkat kecemerlangan pelajar.
Banyak tugas yang masih belum diselesaikan dan beliau diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional agar terus mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 nanti.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 1,094 dan pada pilihan raya umum kali ini, Ramzi berhadapan dengan calon dari parti Pas, Arifabillah @ Mohd. Asri Ibrahim.
“Pelbagai perancangan telah diatur di kawasan Kesedar khususnya Dabong untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Sebagai contoh, kita akan bangunkan kawasan seluas 9,916 hektar di selatan negeri ini di bawah projek agropolitan, Wilayah Pembangunan Ekonomi Timur (ECER) untuk mengubah nasib golongan miskin tegar melibatkan 3,124 orang peserta dan peruntukan sebanyak RM246 juta,” katanya.
Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri itu menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri sumbangannya di kawasan Dabong sepanjang menjadi wakil rakyat pada penggal lepas.
“Saya percaya bagi menjayakan segala usaha untuk kebaikan rakyat, mereka harus membebaskan diri daripada belenggu fahaman Pas yang menolak pembangunan untuk peningkatan kesejahteraan hidup khususnya untuk masa depan anak-anak mereka.
“Rakyat semakin menyedari dengan tidak terikut fahaman yang mengajak supaya kekal di tahap kemunduran sedangkan orang lain dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik. Kemiskinan tidak harus diwarisi,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan