Jumaat, 7 Mac 2008

KELANTAN PERLU ANGIN PERUBAHAN


BERITA HARIAN – (07-03-2008)

Peluang rakyat tentukan agenda pembangunan selepas pilihan raya

TUMPUAN seluruh negara kini sudah pasti kepada Kelantan. Menjelang hari pengundian esok, debaran semakin kuat, mengenai parti mana akan membentuk kerajaan di negeri itu selepas kedua-dua pihak berhempas pulas berkempen.

Ibarat saingan antara Carl Lewis dan Ben Johnson, dalam sejarah larian pecut 100 meter dunia, penentuan kemenangan antara dua legenda itu ada kalanya terpaksa ditentukan menerusi semakan photo finish.

Pertanyaan popular sekarang, malah sejak dari mula lagi ialah siapa antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang Pas, memperoleh banyak kerusi, walaupun majoriti mudah, untuk membentuk kerajaan negeri malam esok.

Walaupun pada pilihan raya umum kali ini, ramai berpendapat perang poster dan pemidang serta kain rentang kurang meriah berbanding masa lalu, namun itu bukan bermakna kempen tidak berjalan lancar.

"Saingan kali ini paling sengit dan penuh taktikal," kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, ketika dihubungi menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), bertanyakan khabar perkembangan kempen BN kini.

Seorang pemerhati pula berkata, sukar menentukan siapa yang akan menang kali ini tetapi pengundi luar yang mula menyebabkan kesesakan bandar Kota Bharu kini, berpotensi menjadi penentu masa depan Kelantan.

Pada masa sama, sejauh manakah Manifesto BN Kelantan yang dianggap terbaik pernah dibentangkan kepada rakyat Kelantan dengan janji dibuat begitu terperinci, disebarkan kepada kumpulan sasar sejak dilancarkan.

Kehadiran Annuar dan calon BN bagi Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, untuk menyebarkan manifesto janji menghapuskan cukai kepala bakul disambut dengan baik dan gembira oleh peniaga Pasar Siti Khatijah.

Namun, sambutan baik itu diputar belit Pas termasuk media tajaannya, konon rombongan berkenaan disambut ejekan sehingga menyebabkan Annuar lari, walaupun hakikat sebenar tidak benar sama sekali.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, dua hari lalu, dengan nada penuh yakin menyatakan Pas kini mendahului saingan di tujuh kerusi, manakala berdepan saingan sengit bagi lima kerusi lagi. Katanya, kali ini sama seperti ketika pilihan raya 1999.

Sama ada benar atau sekadar bicara kosong, Husam bagi mengisi sidang media yang diatur hampir setiap hari sepanjang kempen berlangsung oleh agensi perhubungan awam, itulah dakwanya.

Selepas 18 tahun memerintah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata pada pilihan raya umum kali ini, beliau sedia menerima kekalahan kepada BN, jika itu yang dikehendaki rakyat Kelantan.

Malah, ada pemerhati menyifatkan, Pas perlu kalah kali ini di Kelantan, supaya pemimpin parti itu kembali kepada asas perjuangan sebenarnya.

Justeru, saingan sengit memang dijangka kerana 21 kerusi yang dimenangi Pas dan BN pada pilihan raya umum lalu, hanya dipisahkan dengan majoriti kecil di antara dua hingga 1,000 undi.

Berikutan pembentukan kerajaan Pas dengan perbezaan satu kerusi saja, rakyat Kelantan sudah melihat sendiri prestasi wakil rakyat masing-masing, baik daripada Pas atau BN serta khidmat mereka di kawasan diwakili sejak 2004.

Tidak mustahil jika perbezaan kerusi antara parti yang menubuhkan kerajaan dengan pembangkang pada pilihan raya kali ini turut berakhir dengan perbezaan kerusi yang tipis.

Seramai 751,682 pengundi seluruh Kelantan perlu memastikan mereka tidak sengaja merosakkan undi masing-masing, atas apa juga alasan kerana perbuatan itu adalah satu kerugian besar.

Ketika memangkah kertas undi masing-masing, rakyat Kelantan pastinya sudah tahu atau mengenali calon parti mana yang cakna rakyat, yang mana pula makan elaun buta atau tak buat kerja atau sekadar cakap saja.

Pada masa sama, pengundi luar yang pulang dari kota ke desa masing-masing, sama ada ditaja Pas atau BN, pastinya mempunyai cita rasa tersendiri, sama ada mahu melihat negeri maju dipacu BN atau kekal sedia kala di bawah Pas.

Berdasarkan analisis keputusan Pilihan Raya Umum 2004, selain pengundi yang menyokong ikut parti bertanding, pengundi Kelantan turut memilih berdasarkan personaliti calon yang diletakkan, walaupun berbeza parti.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang memenangi kerusi Parlimen Bachok turut menerima sokongan undi yang banyak daripada pengundi DUN Perupok yang dimenangi Pas ketika itu.

Begitu juga Parlimen Kota Bharu dan Machang yang dimenangi BN tetapi kalah semua kerusi DUN di dalamnya. Keadaan itu menyaksikan BN memenangi sembilan kerusi Parlimen, manakala Pas memenangi lima kerusi.

Agihan kemenangan itu dikaitkan dengan sentimen supaya Kelantan kekal di bawah Pas, manakala Parlimen dikuasai BN. Mungkinkah sentimen sama akan berubah kali ini sejajar permintaan BN mahu mandat sepenggal untuk membuktikan janjinya kepada rakyat Kelantan.

"Acu, cuba, try, test bagi BN satu penggal untuk perintah Kelantan, kalau tak puas hati boleh tukar balik," pesan dan rayu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kepada seluruh rakyat Kelantan pada kunjungan terakhirnya ke Kelantan baru-baru ini.

Justeru, bagi jentera kempen mana-mana parti politik, usaha merayu undi diteruskan kini kepada pengundi yang sudah dikenal pasti dan akan berjalan sehingga mereka melangkah masuk ke pusat pengundian.

Setiap minit terakhir dalam tempoh 24 jam akan datang, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, merayu setiap undi kerana kerajaan Kelantan sebelum DUN dibubarkan hanya berdiri atas dua undi saja.

Kunjungan secara notis mengejut kira-kira tiga jam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, malam Selasa lalu, menyuntik semangat seluruh pemimpin Umno Kelantan untuk berusaha memastikan kemenangan kali ini.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Razmi Abdul Rahman yang mempertahankan DUN Dabong, berkata kekerapan kunjungan Abdullah dan Najib dalam tempoh dua bulan ini adalah isyarat jelas kepada seluruh rakyat Kelantan.

Dalam kesedihan kematian ibunya, Awang Adek yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, berusaha meningkatkan kempen di seluruh negeri dalam usaha bertemu seramai mungkin rakyat Kelantan.

Awang Adek dinamakan BN sebagai calon Menteri Besar jika diberi mandat, berkata sudah tiba masanya BN diberi peluang memerintah Kelantan selepas kegagalan Pas sepanjang 18 tahun diberikan mandat.

"Segala janji dalam manifesto BN adalah yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Ia bukan setakat diakui mereka yang berada di sini tetapi juga orang luar. Ia bukan sekadar rencana saya dan Annuar tetapi jaminan Perdana Menteri dan Timbalannya," katanya.

INFO: Petikan Manifesti BN Kelantan Program dan projek ikonik

Projek tebatan banjir dan hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang

Projek lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang

Kompleks Sukan & Stadium Negeri yang baru

Kompleks Masjid Negeri

Geran pemulihan setiap masjid

Kampus satelit Universiti Malaysia Kelantan

Projek Perumahan Rakyat golongan miskin dan kumpulan layak

Grand Bazaar peniaga kecil

Membesar dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

Ganda Belanjawan Negeri

Blueprint untuk masyarakat bukan Melayu

Dana khusus 1 Produk 1 Mukim


Umat Islam Kelantan

Memartabatkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna

Membina kompleks masjid negeri bernilai lebih RM100 juta

Bantuan RM50,000 setiap masjid mukim

Elaun imam lebih RM1,000 sebulan

Al-Hafiz jadi pegawai masjid

Tubuhkan Darul Quran dan skim pembiayaan hafiz muda

Pendidikan agama

Naikkan gaji guru SAR

Bantuan KWAPM pelajar SAR miskin

Buku teks percuma

Modenkan prasarana

Biasiswa pelajar cemerlang


Rakyat di bandar

Mansuh tunggakan cukai bandar, cukai pintu, kaji kadar cukai semasa

Hapus tunggakan cukai tanah, kaji kadar semasa dinaikkan Kerajaan Pas

Mansuh bayaran letak kereta majlis daerah kecil

Mansuh tunggakan kompaun dan saman letak kereta

Kadar baru letak kereta MPKB turun 50 peratus


Peniaga

Hapus cukai kepala bakul peniaga kecil semua pasar

Skim mikro kredit untuk usahawan wanita dan penjaja


Rakyat luar bandar

Mansuh tunggakan bil air dan kaji kadar baru

Kaji semua cukai supaya tidak beban rakyat

Beri milik tanah kepada rakyat tidak bertanah

Skim pemulihan tanah terbiar


Rakyat pendapatan rendah

Bina rumah rakyat miskin melalui projek PPRT

Peluang pemilikan tanah dan rumah semua kaum rakyat Kelantan


GOLONGAN TUA (WARGA EMAS) dan IBU TUNGGAL miskin

Subsidi wang dan sara hidup

Sumbangan Kifalah, naik RM1,000 kepada RM3,500


Ibu bapa dan pelajar miskin

Bantuan khas pelajar miskin semua kaum

Biasiswa pelajar cemerlang


Pelajar universiti

Geran tesis @ kajian tahun akhir RM1,000-RM2,000

Biasiswa pelajar cemerlang


Belia

Peluang pekerjaan mencukupi

Latihan untuk penganggur - elaun RM300 sebulan

Program perumahan mampu milik untuk rakyat miliki rumah ketika muda


Kakitangan kerajaan

Kemudahan kelab, riadah

Skim latihan dalam dan luar negara

Pakej persiapan pencen


Masyarakat bukan Melayu

Setuju memorandum kaum Bukan Melayu

Kekalkan kemudahan sedia ada, tambah jika perlu

Lantik Pegawai Khas kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli

Tubuh Jawatankuasa Khas kaji setiap masalah bukan Melayu

Program kurnia tanah bagi Orang Asli

Wakil Bukan Melayu dalam PBT

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
Help, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!