SINAR HARIAN – (
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta penyokong Pas akur dengan arahan pihak berkuasa dan tidak menimbulkan sebarang masalah pada hari pengundian Sabtu ini.
Beliau berkata, ingatan itu dibuat bagi mengelak parti itu dituduh sebagai punca kepada sebarang kejadian yang tidak diingini yang berkemungkinan berlaku pada pilihan raya ini.
“Saya nasihatkan penyokong demokrasi, terutama penyokong Pas, jangan timbulkan sebarang masalah.
“Kalau buat masalah, maknanya itu bukan orang Pas,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai pembatalan penggunaan dakwat yang diumumkan SPR, bertujuan mengelak berlaku penganiayaan di kalangan pengundi berdaftar, di sini semalam.
Menteri Besar Kelantan itu yang turut kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi menjelang beberapa hari proses pengundian, berharap penyokong Pas menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Kita terima (keputusan SPR itu) dengan tenang,” katanya.
Nik Aziz bagaimanapun berkata pembatalan itu secara tidak langsung menampakkan ketidaktelusan SPR dalam mengurus pilihan raya yang bersih sedangkan SPR sendiri sebelum ini mahu menggunakan dakwat itu bagi mengatasi masalah individu mengundi dua kali.
Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan pembatalan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
Abdul Rashid berkata, hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi. - BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan