Isnin, 17 Mac 2008

PERHIMPUNAN KHAS : DESAKAN KU LI DAPAT SAMBUTAN


HARAKAH - (17-03-2008)

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Desakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya diadakan perhimpunan agung khas Umno 11 Mei ini mula mendapat sambutan apabila Pemuda Umno Johor semalam mencadangkan supaya perhimpunan agung khas parti itu diadakan segera bagi membincangkan masalah dan pertikaian pendapat yang timbul dalam parti ekoran tsunami politik dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Bernama melaporkan, Pengerusi Tugas-Tugas Khas Pemuda Umno Johor Suhaimi Khalid berkata, perhimpunan khas itu hendaklah diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno yang dijangkakan pada Ogos depan, memandangkan keadaan akar umbi yang kini bergolak.

"Perhimpunan khas ini akan membolehkan anggota parti bermuzakarah antara satu sama lain untuk selesai masalah," katanya kepada agensi berita nasional itu.

Menurut Bernama, episod politik tentang siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Perlis; kedudukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu; dan tindakan Ahli Parlimen Jerlun yang juga anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir meminta Datuk Seri Abdullah Badawi meletak jawatan, kini menjadi bualan hangat akar umbi.

Malapetaka mula mengancam kepimpinan Abdullah apabila dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 140 kerusi parlimen dan gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Parlimen.

Lebih buruk lagi, BN juga kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang, tidak termasuk gagal merampas Kelantan dari PAS.

Malaysiakini melaporkan, para pemerhati berkata, Abdullah kini hakikatnya berada dalam waktu penangguhan pengundurannya sahaja (borrowed time) kerana desakan supaya beliau berundur kian berterusan.

Di peringkat antarabangsa, laporan-laporan media-media berita kian memalukan Abdullah.

Antaranya, laporan AP bertajuk "Malaysia PM faces new call to quit amid rare political turmoil," laporan Reuters bertajuk "Mahathirs son asks Malaysian PM to resign", laporan AFP bertajuk "Malaysian PM defiant despite fading prospects" dan laporan IHT bertajuk "Malaysia prime minister rejects calls to resign".

Abdullah bagaimanapun tetap berkeras untuk bergayut di dahan rapuh apabila berkata dalam wawancara dengan Bernama, "saya akan mentadbir kerajaan".

Sehari selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penggantinya Abdullah telah "memusnahkan" BN selepas keputusan teruk yang ke atas parti tu dalam pilihan raya tersebut.

"Pada pendapat saya, beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan beliau mesti bertanggungjawab," Malaysiakini memetik Dr Mahathir.

Beliau mencadangkan penggantinya meletakkan jawatan dan menambah beliau telah tersilap melantik Abdullah sebagai perdana menteri.

"Saya fikir beliau harus menerima tanggungjawab atas (kekalahan) ini. Beliau mesti menerima tanggungjawab 100 peratus," katanya.

"Saya minta maaf tetapi saya memang telah membuat pilihan yang salah (melantik Abdullah menggantikannya sebagai Perdana Menteri)".

0 ulasan: