Jumaat, 14 Mac 2008

BN TIDAK HARUS TERUS USAHA TAWAN KELANTAN, UMNO PERLU INSAF - ABANG ZAM


HARAKAH – (14-03-2008)

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Hrkh) - Tanpa disangka-sangka bekas Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin membuat kenyataan bahawa BN khasnya Umno dinasihatkan tidak lagi berusaha untuk menawan Kelantan setelah rakyat memuktamadkan keputusan mereka untuk terus bersama PAS buat kali kelima.

Kenyataan ini satu yang mengejutkan ramai pemerhati politik dan Zainuddin yang sebelum ini cukup 'alergi' dengan PAS seakan cuba melembutkan hatinya terhadap PAS.

Kenyataan Bekas Menteri Penerangan yang tersiar dalam sebuah akhbar versi internet Khamis lalu antara lain berbunyi, sudah sampai masanya untuk Umno insaf, bahawa masa dan wag yang telah banyak dicurahkan sebagai usaha untuk mengambil alih Kelantan itu, adalah satu usaha yang sia-sia.

Zainuddin juga berkata, wang yang dicurahkan untuk perjuangan politik di Kelantan itu lebih banyak menimbulkan perbalahan di kalangan pemimpin Umno di negeri itu.

Bagaimanapun kekalahan BN di Kelantan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan pembangunan di negeri itu, sekiranya ada satu kerjasama yang rapat antara kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan Persekutuan, katanya.

"Kemenangan PAS di beberapa buah negeri dan kawasan bukan Melayu juga menunjukkan bahawa parti itu boleh bersikap rasional sekiranya menghadapi tekanan politik demi meneruskan kuasa.

"Pilihan raya kali ini juga menunjukkan bahawa PAS sanggup untuk berganjak dari dasar-dasarnya yang bersifat ketaksuban kepada rasional dalam realiti politik Malaysia," katanya dalam laporan tersebut.

Zainuddin percaya usaha untuk membantu rakyat Kelantan tidak akan menjadi satu usaha yang sia-sia kerana mereka adalah terdiri daripada masyarakat yang rajin bekerja dan sentiasa menunggu peluang perniagaan.

"Saya percaya kerajaan Kelantan juga akan bertukar sikap dan lebih terbuka apabila menghadapi kerajaan pusat yang bersifat mesra" katanya.

0 ulasan: