Jumaat, 7 Mac 2008

PAK LAH, NAJIB YAKIN KEKAL MAJORITI

BERITA HARIAN – (07-03-2008)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin dapat mengekalkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen serta merampas kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, esok.

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, berdasarkan maklum balas rakyat dan pelbagai pihak selepas 12 hari berkempen.

Abdullah pada sidang medianya selepas melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menaik taraf serta pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, berkata BN akan menang kerana rakyat mahukan kerajaan sedia ada meneruskan pentadbiran negara.

"Boleh menang, boleh menang...insya-Allah, boleh menang," katanya mengulas mengenai peluang BN selepas 12 hari berkempen.

Perdana Menteri berkata, BN juga boleh merampas semula Kelantan daripada Pas dan terus berkuasa di Pulau Pinang yang kini 'diserang' hebat oleh parti pembangkang.

"Kita boleh menang di Kelantan dan Pulau Pinang. (Ini kerana) apa yang rakyat mahu ialah BN," katanya.

Di SHAH ALAM, Najib berkata, BN tidak akan menghadapi masalah untuk memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen berdasarkan sambutan ke atas kempen dan program yang dianjurkannya, selain maklum balas calon serta maklumat yang diberikan pelbagai pihak.

"Berdasarkan maklum balas ini, nampak gaya kita boleh capai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Saya yakin kerana itu saya berada di sini," katanya selepas majlis Timbalan Perdana Menteri bersama Pekebun Kecil dan Pekerja Ladang Sawit di Stadium Melawati.

Najib bagaimanapun berkata, BN akan terus berusaha sehingga saat akhir supaya rakyat dan pengundi tidak melihat kemenangan diperoleh dengan begitu mudah.

"Kita mesti bekerja selagi ada masa dan turun padang untuk berjumpa rakyat serta pengundi supaya mereka terus memberi keyakinan kepada BN," katanya.

Ketika bercakap kepada pemberita di Kuantan pula, Najib berkata, lawatannya ke beberapa negeri, menunjukkan sasaran mendapat majoriti lebih dua pertiga boleh dicapai.

"Sekarang sudah ada tanda menunjukkan sesetengah kawasan kelabu sudah bertukar putih, manakala usaha lebih gigih dibuat di kawasan hitam. Kita yakin menang di Kelantan sebab sudah buat yang terbaik dan tunjuk keikhlasan kita. Perdana Menteri dan saya juga sudah pergi ke sana.

"Kita sudah bentangkan gagasan untuk Kelantan, malah terbitkan manifesto khas untuk Kelantan yang menggariskan apa yang kita mahu lakukan untuk rakyat negeri itu. Segala-galanya kini bergantung kepada rakyat Kelantan untuk membuat keputusan," katanya.

Najib berkata, pilihan raya memberi pilihan kepada pengundi membuat pilihan sama ada mahukan kerajaan yang terbukti kemampuannya membela rakyat atau parti pembangkang yang hanya tahu berjanji tetapi tidak tahu cara melaksanakannya.

"Jika rakyat memberi mandat sekali lagi kepada BN, kita akan tingkatkan usaha memacu pembangunan, kejayaan dan pembelaan rakyat," katanya.

0 ulasan: