Khamis, 13 Mac 2008

BIMBANG MELAYU DIPINGGIR


UTUSAN MALAYSIA –(13-03-2008)

KUALA LUMPUR 12 Mac – Cendekiawan Melayu bimbang dengan penolakan Kerajaan Pulau Pinang terhadap amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ia akan terus meminggirkan orang Melayu dalam pembangunan ekonomi di negeri itu.

Menurut mereka, keadaan tersebut jika berlaku akan menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu Pulau Pinang terhadap kerajaan negeri yang baru dibentuk hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu.

Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, jika benar DEB ingin dihapuskan ia akan menyebabkan kedudukan ekonomi orang Melayu akan terus terpinggir.

Katanya, DEB telah banyak memberi peluang yang seimbang kepada orang Melayu dalam bidang ekonomi untuk bersaing dengan kaum lain.

‘‘Tetapi jika ia hendak dimansuhkan, pastinya keadaan ekonomi dan kehidupan orang Melayu Pulau Pinang akan menjadi lebih teruk.

‘‘Ketika di bawah pemerintahan parti Gerakan, orang Melayu masih terpinggir dalam bidang ekonomi dan ini pula jika DEB hendak dimansuhkan,’’ ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah Kerajaan Pulau Pinang yang mahu membebaskan pentadbirannya daripada pelaksanaan amalan DEB.

Ahmad Atory berkata, dasar ekonomi itu banyak memberi keseimbangan dalam kuota perniagaan, gerai, projek pembangunan, pendidikan dan perumahan supaya orang Melayu tidak ketinggalan jauh daripada kaum lain.

‘‘Walaupun Guan Eng menyatakan ekonomi Pulau Pinang untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, pada saya ia tetap akan terus meminggirkan orang Melayu Pulau Pinang seperti juga di bawah pimpinan parti Gerakan,’’ ujarnya.

Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusuff turut berpendapat orang Melayu Pulau Pinang akan terus tercicir jika DEB dimansuhkan.

Menurutnya, keadaan itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pastinya akan mewujudkan andaian-andaian buruk.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Rahanas Harun pula berkata, DEB telah banyak membantu mengimbangi orang Melayu dengan kaum lain dari segi ekonomi.

Tanpa DEB, kata beliau, kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang akan terus terpinggir terutama dalam bidang ekonomi.

‘‘Jika benar kerajaan pimpinan DAP dan PKR mahu memansuhkan DEB, misalnya kuota perniagaan untuk bumiputera dihapuskan, ia boleh menimbulkan bantahan masyarakat,’’ katanya.

0 ulasan: