Rabu, 5 Mac 2008

TERENGGANU MODEL TERBAIK BANGUNKAN KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – (05-03-2008)

MARANG 5 Mac - Barisan Nasional (BN) mahu menjadikan Terengganu sebagai model terbaik kepada Kelantan sekiranya negeri itu berjaya dirampas semula daripada Pas pada pilihan raya 8 Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun baru sepenggal memerintah Terengganu iaitu selepas menang pada pilihan raya umum 2004, BN berjaya membawa pelbagai bentuk pembangunan hingga memberi limpahan nikmat kepada rakyat .

Beliau berkata, Pas memerintah Kelantan selama 18 tahun tetapi tiada pembangunan yang berjaya ditonjolkan berbanding pemerintahan empat tahun BN di Terengganu.

``Inilah hakikat yang berlaku sekarang. Pemerintahan selama empat tahun di Terengganu jauh lebih baik daripada 18 tahun Pas di Kelantan. Tiada apa kemajuan yang mereka (Pas) bawa selepas memerintah sejak sekian lama.

``Cuba lihat Terengganu. Dahulu semasa diperintah oleh Pas nasibnya serupa seperti Kelantan tetapi apabila rakyat memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum 2004, kita bawa banyak kemajuan ke negeri ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian medan infodesa daerah Marang di Dataran Sri Limbat, Kampung Alur Limbat dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin; Ketua UMNO Bahagian Marang; Datuk Abdul Rahman Bakar serta calon-calon BN Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Marang.

Najib yang ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini.

- Utusan

0 ulasan: