Rabu, 5 Mac 2008

HUTANG KELANTAN : HUSAM SEDIA BERDEBAT DENGAN NAIB PRESIDEN UMNO


HARAKAH – (05-03-2008)

KOTA BHARU, 4 Mac (Hrkh) - Bukan sahaja akan menghantar penyata hutang negeri Kelantan untuk dipelajari sendiri oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin malah Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa bersedia berdebat mengenai dakwaan Menteri Pertanian itu bahawa kerajaan Kelantan muflis.

Beliau juga menunjukkan rekod bertulis mengenai hutang negeri Kelantan kepada para pemberita dalam sidang media hariannya di sini hari ini.

Mengulas dakwaan Muhyiddin kononnya beliau terkejut dengan "bebanan hutang besar kerajaan Kelantan" selepas dimaklumkan oleh Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Annuar Musa, Husam menyindir Menteri Pertanian itu dengan meminta beliau belajar matematik.

Annuar sebelum itu berkata, defisit terkumpul belanjawan negeri itu kini berjumlah RM400 juta setahun manakala hutang pinjaman air (daripada kerajaan pusat sejak awal tahun 2000) sahaja berjumlah RM600 juta.

Sambil mengakui Kelantan berhutang RM398 juta untuk projek bekalan air di negeri itu, Husam berkata tidak ada mana-mana pihak yang membayar hutang sekaligus.

Tempoh pembayaran hutang untuk projek bekalan air di Kelantan itu ialah 20 tahun.

Husam menjelaskan, tempoh matang hutang untuk projek bekalan air itu bermula pada bulan November 2007.

"Pada bulan November 2007, kena bayar (hutang tersebut) RM4 juta. Kita bayar," katanya.

Malah, katanya, kerajaan PAS Kelantan telahpun mengarahkan supaya dibayar kira-kira RM1.4 juta hutang projek bekalan air itu yang ditetapkan pembayarannya pada Januari 2008.

Mengenai kenyataannya bahawa kerajaan negeri Kelantan adalah yang kedua terbaik di Malaysia selepas Sarawak, Husam berkata, menurut data "Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Mengikut Negeri Sehingga 31 Disember 2006", Kelantan mempunyai tunggakan RM11.6 juta berbanding Selangor sebanyak RM587.45 juta, Kedah (RM385.23 juta), Johor (RM365.8 juta) dan Pahang (RM309.13 juta).

Beliau juga membacakan senarai negeri yang mempunyai banyak tunggakan. Kecuali Sarawak, semuanya berprestasi lebih buruk daripada Kelantan yang ditadbir PAS - yang terpaksa membayar hutang yang ditingalkan oleh pemerintahan 12 tahun kerajaan Barisan Nasional di negeri itu yang berjumlah RM760 juta.

Terengganu, yang berjaya dirampas BN pada pilihanraya umum lepas, mempunyai tunggakan RM300.34 juta.

0 ulasan: