Rabu, 5 Mac 2008

EMPANGAN RM5B DI KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – (05-03-2008)

PASIR MAS 4 Mac – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyatakan kesediaan mereka untuk melabur bagi pembinaan sebuah empangan besar di Nenggiri, Gua Musang dekat sini yang bakal mempunyai dua fungsi iaitu sebagai projek tebatan banjir dan jana kuasa hidroelektrik serba moden.

Calon Menteri Besar Kelantan jika Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, TNB telah memberikan taklimat terperinci mengenai projek bernilai RM5 bilion itu yang akan diberikan keutamaan sekiranya BN mendapat mandat.

‘‘Janji ini terkandung dalam manifesto tambahan khusus bagi merawat Kelantan yang diberi keutamaan jika memerintah negeri ini.

‘‘BN kalau berjanji tidak pernah tidak menunaikan. TNB telah memberikan komitmen mereka untuk melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan manifesto khusus itu peringkat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir di sini hari ini.

Awang Adek berkata, projek ini memberikan keuntungan menang-menang kepada TNB dan juga penduduk Kelantan apabila ia beroperasi kelak akan memberi keuntungan kepada syarikat utiliti negara itu dan menjamin bekalan elektrik kepada penduduk.

Selain itu katanya, peranan empangan itu juga membantu mengawal kejadian banjir yang selalu terjadi di kawasan pedalaman Kelantan akibat pengaliran air dalam kuantiti banyak daripada bahagian hulu ke hilir yang kebiasaannya datang dengan mendadak apabila hujan lebat turun.

0 ulasan: