Selasa, 4 Mac 2008

PEMUDA PASTIKAN ANAK KELANTAN SELAMAT PULANG



BERITA HARIAN – (
04-03-2008)

KOTA BHARU: Jentera pilihan raya Pemuda Umno akan memastikan lebih 30,000 anak Kelantan yang pulang mengundi pada pilihan raya Sabtu ini, selamat sampai ke destinasi masing-masing tanpa sebarang sekatan dalam perjalanan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata beliau mengarahkan Pemuda Umno semua bahagian di Kelantan, bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi memastikan pengundi tidak dihalang.

Khairy berkata, sejarah lima pilihan raya kecil lalu membuktikan, pembangkang selalu menggunakan taktik kotor dengan menuduh orang luar yang pulang untuk mengundi sebagai pengundi hantu.

"Kita tahu pembangkang selalunya menyekat pengundi sah pulang untuk mengundi. Saya harap kali ini tidak timbul masalah besar kerana saya tahu ramai pengundi Kelantan akan balik dari Kuala Lumpur.

"Saya berharap mereka dapat mengundi secara aman dan bebas daripada apa-apa sekatan dan paksaan mana-mana pihak, malah saya minta Pemuda Umno bekerjasama dengan polis menjaga lalu lintas," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Bilik Gerakan Pemuda Umno bahagian Kubang Kerian dekat Pasir Tumboh di sini, petang semalam.

Sementara itu, ketika melancarkan jentera Pemuda BN Rantau Panjang, semalam, Khairy berkata, ahli dan penyokong Umno di Kelantan diminta tidak memberi walau satu undi kepada Pas atau calon Bebas hanya kerana marah atau berkecil hati terhadap isu kecil dalam parti.

"Semua ahli dan penyokong Umno perlu mengekalkan perpaduan dan mengundi calon BN, walaupun calon itu mungkin bukan pilihan mereka," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak mesti menyokong calon dipersetujui pucuk pimpinan parti, bagi mengelak sejarah 2004 berulang apabila BN tewas dua undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning.

"Pas sekarang dah tak ada kekuatan, cuma menjadi musuh sekarang adalah kita sendiri. Sebab itu kita perlu mengekalkan perpaduan, jangan berpecah pada saat ini sehingga Pas boleh mengambil kesempatan.

"Jika semua ahli Umno undi calon BN, saya yakin kita dapat menawan Kelantan pada 8 Mac ini. Jangan ada orang Umno undi calon bebas, mereka ini orang yang kecewa dan mahu merosakkan Umno.

"Penyokong totok Pas ada juga yang tak puas hati, tapi mereka tetap undi Pas. Jadi, kalau rasa tak puas hati, jangan bagi undi pada bebas atau Pas, ketepikan semua itu kerana yang penting adalah kemenangan BN," katanya.

Khairy yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN berkata, rakyat Kelantan perlu menyokong BN pada pilihan raya umum ini bagi membawa perubahan ke negeri ini.

"Saya lihat, inilah masa paling sesuai untuk BN memerintah Kelantan. Rakyat di bawah pun tak mahu Pas, pade doh... tapi Pas kata 18 tahun molek doh, molek macam mana kalau tempoh yang lama itu tiada perubahan," katanya.

Mengenai manifesto BN Kelantan yang diumumkan Sabtu lalu, Khairy berkata, beliau yakin janji menerusi manifesto khusus itu mampu dipenuhi BN yang mempunyai kemampuan dalam pelbagai aspek, termasuk kewangan.

0 ulasan: