Selasa, 4 Mac 2008

STOK PENIMBAL JAMIN BERAS SENTIASA CUKUP


BERITA HARIAN – (04-03-2008)

Negara perlukan stok 300,000 tan tampung keperluan

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menubuhkan stok penimbal sebagai pendekatan ke arah menjamin bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara menjangkakan stok beras sedia ada iaitu 62,000 tan melalui kontrak dengan Bernas masih tidak mencukupi.

Katanya, bekalan itu hanya mencukupi untuk 14 atau 15 hari, sedangkan negara memerlukan sekurang-kurangnya stok bekalan untuk dua bulan, iaitu antara 200,000 hingga 300,000 tan.

"Negara sedang berdepan dengan keadaan tidak menentu dari segi bekalan beras dan kini menyaksikan banyak negara di dunia menyediakan stok penimbal beras.

"Berdasarkan perkembangan ini,
Malaysia perlu proaktif dalam perkara ini. Oleh itu, satu stok penimbal akan ditubuhkan dengan membabitkan kerajaan atau swasta sebagai pengelola tugas itu.

"Kini usaha menubuhkan stok penimbal belum diputuskan kerajaan dan akan dibincangkan dengan pihak terbabit bagaimana mahu melaksanakannya nanti," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kada, Datuk Seri Annuar Musa dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyalurkan insentif RM800 juta kepada petani seluruh negara yang berdepan peningkatan harga input pertanian.

Katanya, petani yang akan menerima insentif itu ialah mereka yang terbabit dalam sektor pertanian seperti tanaman sayuran, buah-buahan, ternakan dan akuakultur.

"Pemberian insentif ini untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi sudah mengarahkan supaya perkara ini dilaksanakan," katanya.

0 ulasan: