Selasa, 4 Mac 2008

BN MAMPU TEBUS KEMUNDURAN PAS


BERITA HARIAN – (
04-03-2008 )

Kelantan alami perubahan pesat jika Barisan Nasional dapat mandat 8 Mac ini

RAKYAT Kelantan pada semua peringkat termasuk mahasiswa yang sedang menuntut di universiti awam, akan mendapat faedah melalui janji Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto tambahan khusus untuk negeri itu, jika ia berjaya merampas semula kerajaan negeri daripada Pas.

'Ole-ole' untuk rakyat negeri itu diumumkan sepenuhnya Sabtu lalu, selepas sedikit demi sedikit gambaran isi kandungan manifesto itu diumumkan pemimpin BN sebelum ini.

Manifesto bertemakan 'Kelantan Baru-Kelantan Maju 2008, Rakyat Disatukan, Negeri Dimajukan, Agenda Untuk Perubahan' itu yang digarap oleh BN Kelantan sejak lapan bulan lalu mencakupi tiga teras nasional dan tujuh teras utama untuk Kelantan.

Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang bakal dilantik Menteri Besar jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri pada malam Sabtu ini, melancarkan manifesto itu yang turut menjanjikan 12 projek dan program ikonik yang menjadi sebahagian daripada agenda perubahan untuk Kelantan baru.

Menerusi program dan usaha itu, BN berazam untuk menebus segala kelemahan dan kemunduran sepanjang 36 tahun Kelantan (1959-1977 dan 1990-2008) berada di bawah Pas Sesuai dengan pengumuman Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan bahawa 2008 sebenarnya Tahun Merawat Kelantan, disenaraikan 16 `rawatan' yang akan dilakukan BN di seluruh negeri demi rakyat Kelantan.

Sebaik satu demi satu bentuk `rawatan' yang bakal dibuat, diperincikan, ia mendapat tepukan gemuruh tetamu yang mewakili semua kaum mewakili komponen BN.

Selain pelbagai projek ikonik, setiap janji yang dibuat BN menerusi bentuk rawatan itu dalam manifesto sebenarnya menyentuh kehidupan harian mana-mana lapisan rakyat di negeri itu.

Dari hulu hingga ke hilir Sungai Kelantan, dari utara Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak, di mana juga rakyat Kelantan berada kini, pasti ada faedah dalam manifesto itu yang membabitkan mereka, jika BN diberi mandat.

Berbanding manifesto kerajaan Pas Kelantan yang diumumkan minggu lalu, dengan memaparkan janji dan program secara umum, manifesto BN lebih khusus dan terperinci dalam menyatakan hasrat dan janji yang hendak dibuat.

Keadaan itu memudahkan seluruh rakyat Kelantan kini memahami apa yang akan dilakukan BN sebaik mendapat mandat Sabtu ini. Malah ia diumumkan berkuatkuasa serta-merta mulai 9 Mac ini.

Bagi orang yang memasuki Kota Bharu, pemandu mana yang tidak mahukan bayaran letak kereta yang murah, pada kadar 50 peratus lebih murah berbanding kadar semasa. Untuk rekod, kadar letak kereta di Kota Bharu pernah dinaikkan kepada RM1 sejam baru-baru ini, sebelum tergesa-gesa diturunkan kepada 80 sen sejam, sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Berapa banyak pemandu negeri itu yang mempunyai saman dan tunggakan kompaun dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), ekoran saman pasti diterima kerana tidak memasukkan siling pada meter letak kereta.

Justeru, janji BN menghapuskan semua saman dan kompaun tertunggak, manakala kadar baru diturunkan sehingga 50 peratus adalah sesuatu yang pasti dinantikan semua pengguna kenderaan.

Seorang penjaja wanita di Pasar Siti Khatijah dalam diam mengharapkan cukai kepala bakul kira-kira RM2.50 sehari yang dikutip daripadanya dimansuhkan.

Mungkin bagi golongan berada, kadar sewa serendah itu tidak seberapa, tetapi bagi golongan penjaja kecil wanita, kadar cukai bakul yang dibayar sepanjang bulan, boleh membiayai keperluan setengah bulan belanja dapur.

Hasrat BN memansuhkan cukai kepala bakul semua pasar seluruh negeri sebenarnya mendekati hati setiap penjaja kecil wanita yang sekadar mencari rezeki menyara kehidupan yang tidak semewah mana.

Anak Kelantan di universiti awam tempatan adalah antara kelompok besar di seluruh negara, turut tidak dilupakan BN dengan geran RM1,000 hingga RM2,000 jika membuat kajian, tesis atau projek yang menguntungkan Kelantan pada tahun akhir pengajian.

Janji itu pastinya sesuatu lebih bermakna buat mereka, berbanding program anjuran pihak pro-Pas yang sekadar mendorong mereka mengikut amarah darah muda tanpa rasa tanggungjawab menyumbang untuk negeri sendiri.

Untuk kemudahan umat Islam beribadat, BN menjanjikan peruntukan RM50,000 untuk setiap masjid mukim di seluruh negeri serta membina sebuah kompleks masjid negeri.

Pada masa sama, elaun imam masjid yang ketika ini dibayar RM250 sebulan oleh kerajaan Pas Kelantan dan tambahan RM400 oleh Kerajaan Pusat, akan dinaikkan kepada lebih RM1,000 sebulan, sesuai taraf dan khidmat mereka.

BN Kelantan mengukuhkan janji mereka kepada golongan imam negeri ini bahawa semua imam walaupun dilantik kerajaan Pas dan menyokong parti itu, tidak akan dipecat sewenang-wenangnya.

Janji terbabit selaras dengan matlamat BN dan Umno jika diberi mandat kali ini untuk menyatupadukan rakyat pada ketika usaha memajukan negeri dijalankan.

Biarkan bagi sesetengah pihak, golongan penganggur dianggap tidak memberi sebarang faedah, namun BN akan melancarkan Skim Latihan Penganggur dengan setiap peserta dibayar elaun RM300 sebulan.

Bagi penduduk bukan Melayu di Kelantan, BN melancarkan 'Kertas Biru Masyarakat Minoriti' mengandungi pakej merangkumi soal tanah, perumahan, pelajaran, ekonomi, agama dan lain-lain menerusi pembentukan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Besar.

Sesungguhnya banyak janji yang menyentuh setiap pengundi Kelantan disenaraikan dalam manifesto BN Kelantan kali ini.

Pendekatan BN menyenaraikan dalam bentuk ayat mudah, memudahkan seluruh rakyat Kelantan memahami perubahan yang akan dinikmati sebaik memberi peluang dan mandat kepada BN pada 8 Mac ini.

Selama 18 tahun di bawah Pas, isu tanah terbiar menjadi sebahagian manifesto Pas sejak 1990 untuk membasmi kemiskinan rakyat. Malah setiap kali menjelang pilihan raya janji basmi tanah terbiar terus dicanang.

Namun, sehingga kini, tanah terbiar di negeri itu tidak pernah selesai, malah dianggarkan Kelantan kini berdepan dengan lebih 40,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri ketika ini.

Justeru, pada pilihan raya ini, tidak rugi bagi rakyat Kelantan cuba memberi peluang kepada BN memenuhi janji yang ditaburnya, kerana manifesto yang dibentang, ibarat dokumen perjanjian yang dimeterai dan hasilnya akan dianalisa setiap kali menjelang pilihan raya, sebelum tangan memangkah.

menerusi satu lonjakan mega demi membela negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

0 ulasan: