Rabu, 5 Mac 2008

PAS GUNA KHUTBAH JUMAAT


BERITA HARIAN – (
05-03-2008)

Dr Awang Adek kecewa kemuliaan masjid digadai untuk politik

RANTAU PANJANG: Segelintir imam di Kelantan dikesan menggunakan khutbah Jumaat untuk berkempen kepada jemaah supaya mengundi Pas pada pilihan raya Sabtu ini.

Pengarah Jentera Pilihan raya Barisan Nasional (BN) negeri Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata beliau kecewa sikap imam terbabit yang sanggup menggadaikan kemuliaan mimbar khutbah demi kepentingan parti.

"Imam terbabit menyampaikan khutbah menggambarkan seolah-olah mereka yang menyokong BN adalah golongan bukan Islam, ia memberi tanggapan BN adalah parti mengutamakan dunia dan penyokongnya akan masuk neraka.

"Saya sendiri berpengalaman berdepan keadaan itu dan ia benar-benar mengecewakan apabila ada imam yang sanggup menggunakan mimbar khutbah demi kepentingan parti politik," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas melancarkan manifesto BN bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Tuku di sini semalam. Hadir sama calon BN DUN Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail dan calon BN Parlimen Rantau Panjang, Mohd Afandi Yusoff.

Dr Awang Adek berkata, khutbah yang dibaca imam terbabit juga menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang hanya mementingkan dunia dan menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Katanya, beliau tidak pernah berasakan Umno mahupun BN sebagai sebuah parti yang menumpukan dunia semata-mata, tetapi sebaliknya BN adalah parti yang mementingkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Malah, katanya Pas menganggap pilihan raya umum kali ini seolah-olah pertembungan atau peperangan antara umat Islam menentang pasukan bergajah (Abrahah), bagi mempertahankan kubu terakhir Pas di Kelantan.

"Pas menganggap demikian kerana tahu kubu terakhir mereka ini menunggu masa untuk berkubur, ekoran gelombang kebangkitan rakyat. Saya yakin rakyat tidak akan terkeliru dengan serangan politik Pas.

"Satu penggal saya memenangi Parlimen Bachok, banyak kebaikan dibawa masuk, pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hospital, pembinaan jalan raya, rumah untuk golongan miskin dan bantuan pendidikan itu semua adalah kebaikan yang dibawa pemimpin BN.

"Saya harap rakyat dapat menilai, sama ada perubahan saya lakukan itu satu keburukan atau kebaikan, Pas memang begitu suka menakutkan dan mengelirukan rakyat," katanya.

Katanya beliau sudah lali dengan cara Pas berkempen, bahkan beliau pernah dituduh media milik Pas yang mahu menjadikan Kelantan sebagai Serambi Maksiat, jika BN menang pada pilihan raya Sabtu ini.

0 ulasan: