Rabu, 5 Mac 2008

BATAL GUNA DAKWAT BUKAN KEPUTUSAN KERAJAAN


BERITA HARIAN – (05-03-2008)

Abdullah minta SPR segera beri penjelasan kepada semua wakil parti

KOTA BHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembatalan calitan dakwat pada kuku pengundi yang sepatutnya dibuat pada pilihan raya umum Sabtu ini, adalah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak tahu menahu mengenai perkara itu atau terbabit dengan keputusan SPR berhubung pembatalan berkenaan.

"Saya sudah bagi tahu Datuk Radzi (Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad) supaya mendapatkan penjelasan daripada SPR kerana ini bukan kita punya kerja. Saya diberitahu, ini adalah keputusan dibuat SPR.

"Saya pun mahu mendengar maklumat lanjut daripada mereka. Saya harap mereka (SPR) patut panggil ketua atau wakil parti untuk beri penerangan supaya tidak ada perkara yang tak baik berlaku (ekoran pembatalan itu)," katanya .

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama pemimpin Umno Kelantan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat hajat di Dewan Bangunan Umno negeri.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Setiausaha Umno Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Perdana Menteri mengulas pengumuman yang dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bahawa cadangan menggunakan tanda dakwat kekal pada kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya Sabtu ini dibatalkan.

Mengulas kemungkinan perbuatan membeli dakwat dari luar negara itu bertujuan mensabotaj pilihan raya 8 Mac ini, Perdana Menteri berkata, kemungkinan perbuatan itu memang ada.

"Kemungkinan ada. Memang dalam kenyataan yang saya baca ada disebutkan perkara ini. Pada fikiran saya, dalam pilihan raya, apa yang penting sekali ialah hak mengundi, ini yang kita tidak boleh ketepikan.

"Maka dengan itu adalah penting bagi SPR pastikan supaya kalaulah berlaku seperti ada tindakan pihak tertentu yang boleh menimbulkan kemungkinan orang yang nak mengundi tak dapat mengundi oleh sebab tangan dan kukunya dah diletakkan dakwat hitam, maka ini satu penganiayaan," katanya.

Beliau berkata, hak orang yang mendaftar sebagai pengundi mesti dipertahankan, ini perlu diberi jaminan oleh SPR kepada rakyat dan pengundi yang akan mengundi

Katanya, keputusan SPR itu sudah menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak dan SPR perlu berhati-hati supaya pengundi dapat menunaikan hak mereka.

Berhubung kunjungan singkatnya ke Kelantan malam tadi, Abdullah berkata, beliau datang untuk berbincang mengenai situasi terkini dan menyatakan pandangannya berhubung aspek yang perlu diberi perhatian oleh jentera BN Kelantan.

"Dari segi kecenderungan nak menyokong BN pada waktu ini, sudah nyata nampak perubahannya, yang pentingnya jentera kita perlu kerja lebih kuat, itu mesej yang saya sampaikan kepada mereka," katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa untuk menghadiri dan berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Pekan Melor, kira-kira 20 kilometer dari sini.

0 ulasan: