UTUSAN MALAYSIA – ( 01-03-2008 )
Ketika Datuk Dr. Awang Adek Hussin melangkah masuk ke sebuah kedai kopi di Perupok, seorang tua tidak bangun mendekatinya. Pak Mat, 65, sekadar memerhati sambil menghirup minuman di penjuru kedai kerana dia tidak ingin dilihat sudah beralih ‘kiblat.’
“Sayang kalau orang macam dia kita tolak jauh. Ambo dengar juga dia orang nak bagi jadi Menteri Besar, baguslah anak Bachok,” ujar Pak Mat bersahaja sambil mengalih letak kain batik lepas di bahu.
Sudah menjadi amalan Awang singgah minum di kedai-kedai kopi dalam kawasan itu pada awal pagi jika terluang kerana ‘politik kedai kopi’ lebih mendekatkan perhubungan selain meninjau permasalahan.
Awang Adek, 53, meninggalkan Bank Negara ketika menyandang jawatan Penolong Gabenor untuk kembali ke kampung halamannya, kawasan mundur yang bersarang dengan kemiskinan untuk menjadi ahli politik penuh masa.
Dengan pendapatan yang lumayan dan berkedudukan tinggi, Awang Adek nekad melepaskan jawatan pada tahun 2001 setelah enam tahun berkhidmat. Beliau diajak pulang untuk berkongsi kehidupan dengan masyarakat setempat.
Awang Adek mula bergiat serius dalam politik apabila dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok pada tahun 2001 dan kemudiannya dilantik sebagai ketua tanpa bertanding.
Pada pilihan raya umum 2004, Awang Adek telah diberi kepercayaan bertanding kerusi Parlimen Bachok dan berjaya menewaskan Wan Nik Wan Yusoff (Pas) dengan majoriti 6,272 undi.
Beliau berjaya memecahkan penguasaan Pas di Bachok, kubu kebal sebagaimana Pengkalan Chepa, kali kedua yang dimenangi BN dalam sejarah pilihan raya.
Fikir
“Ambo dengan gaji ambo, cukup untuk makan keluarga ambo, tak payah fikir orang lain tetapi sekembalinya ambo ke Bachok, ambo akan merasa kesal kalau tak buat sesuatu untuk masyarakat ambo,” katanya dalam satu majlis kecil di kampung.
Anak kampung itu yang pada penggal lalu menjadi Ahli Parlimen Bachok diumumkan sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 nanti.
Justeru, beliau juga dicalonkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perupok, satu-satunya calon BN yang bertanding bagi dua kerusi agar pada masa yang sama kerusi Parlimen tidak jatuh kepada pembangkang yang meletakkan tokoh mereka.
Ketika namanya diumumkan sebagai calon bakal Menteri Besar, spontan sorakan bergema di kalangan pemimpin dan penyokong BN, memperlihatkan beliau mendapat sokongan padu serta penerimaan menyeluruh.
Namun mampukah Awang Adek meyakinkan rakyat tentang apa yang boleh dilakukan sebagai seorang teknokrat bagi memastikan badi 18 tahun Pas memerintah Kelantan, akan berulang seperti sebelum ini?
Latar belakang pengalaman yang pelbagai di sektor pendidikan tinggi, pentadbir dan korporat dengan prestasi cemerlang ditunjukkan termasuk dalam menangani krisis ekonomi negara, tentunya harapan tinggi buat beliau untuk memacu ekonomi negeri.
Seorang pemerhati politik menyifatkan Awang Adek, biar setinggi mana beliau pernah berada tetapi dia masih tidak tercabut akarnya di mana dia bermula dan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan bersahaja masyarakat sekitar.
Beliau telah diuji setelah menjadi wakil rakyat dan tiada langsung menunjukkan beliau gagal menangani isu setempat serta tiada masalah di peringkat parti.
“Ketika beliau mula bertanding, ada orang kampung yang baru menyedari siapa Awang Adek. Dia kesal kalau calon baru itu tewas,” ujar pengetua Kolej Wadi Sofia, Hassan Harun.
Bagi Hassan, Awang Adek mungkin di luar sedarnya telah melayakkan diri sehingga diberi kepercayaan dan ia bukan saja penghormatan baginya tetapi bagi masyarakat Bachok yang tentunya berbangga dengan pencapaian cukup tinggi anak kampung mereka.
Dalam era suram hampir dua dekad sepanjang Kelantan di bawah teraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa melayani emosi rakyat melalui aspek kerohanian - menyebabkan aspek pembangunan manusia sejajar dengan tuntutan kehidupan semasa jauh ketinggalan.
Kecacatan dan lompong wajah negeri kerana kelemahan pentadbiran dengan kegagalan menjana ekonomi negeri secara terancang sentiasa ditutupi oleh Kerajaan Pusat yang terus mencurahkan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
Justeru tanpa bantuan Pusat, soal keseimbangan rohani dan jasmani akan menjadi terlalu pincang dan dengan Dasar Membangun Bersama Islam hanya memberi gambaran negatif terhadap agama.
Kali ini UMNO menawarkan pengganti dengan jati diri bangsa dan Islam yang kukuh menggantikan ‘ulama rohani’ bagi mengimbangi pembangunan diri dan negeri.
Kalangan pemerhati berpendapat, dengan kombinasi golongan berlatar belakang tinggi dalam bidang agama, profesional dan pentadbiran – membekalkan Awang Adek dengan karakter yang harmonis bagi menggerakkan jentera sejajar dengan tuntutan masa.
Ada yang berpendapat, ini penggemblengan luar biasa barisan calon BN untuk memenuhi impian bagi melaksanakan tanggungjawab besar bagi menjadi Kelantan benar-benar hebat, bukan setakat permainan politik yang tidak bertempat.
0 ulasan:
Catat Ulasan