UTUSAN MALAYSIA – ( 01-03-2008 )
BACHOK 29 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gembira apabila keputusannya memilih Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai calon Menteri Besar Kelantan diterima baik oleh rakyat negeri ini.
Mengulas suasana ketika pengenalan nama orang kenamaan pada Majlis Pecah Tanah Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini yang menyaksikan Awang Adek menerima tepukan gemuruh, Perdana Menteri secara berseloroh berkata, beliau tidak berasa cemburu.
Sebaliknya, Abdullah mengakui yang beliau tumpang gembira kerana terlibat dalam memutuskan Awang Adek sebagai bakal Menteri Besar Kelantan.
''Memang elok benar, tak salah pilihan kita melantik Awang Adek untuk memimpin kerajaan Kelantan selepas pilihan raya.
''Sebab itu saya tak cemburu, sedikit pun tak ada walaupun Awang Adek mendapat tepukan bukan main hebat, lebih daripada saya," katanya ketika berucap pada majlis itu di tapak kampus UMK dekat sini petang ini.
Sementara itu ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Pendidik dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Pemantau Harga Majlis Harga Barang Negara (MHBN) di Kota Bahru malam ini, Perdana Menteri berkata, sebanyak 2,000 siswazah menganggur akan dilantik sebagai Pegawai Pemantau Harga Barang.
Menurutnya, mereka akan dilantik secara kontrak selama setahun dengan gaji RM1,500 sebulan.
Katanya, pelantikan itu selaras dengan penubuhan MHBN yang bertujuan melindungi kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah daripada kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.
''Pemantauan harga ini akan dilaksanakan di premis perniagaan seperti pasar, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara meliputi kawasan bandar dan luar bandar," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan