Sabtu, 1 Mac 2008

2,000 SISWAZAH PANTAU HARGA


BERITA HARIAN – ( 01-03-2008 )

KOTA BHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, seramai 2,000 siswazah menganggur kini dilantik sebagai Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi membantu kerajaan mengumpul maklumat harga dan bekalan barangan di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, mereka yang berkhidmat secara kontrak selama setahun itu turut menikmati gaji bulanan RM1,500.

"Tugas mereka mengumpul maklumat harga dan bekalan barangan keperluan setiap hari di seluruh negara dan maklumat itu akan dianalisis sebelum disalurkan ke pangkalan data komprehensif peringkat pusat.

"Pemantauan harga ini dilaksanakan di seluruh negara oleh pegawai dilantik di peringkat negeri dan juga daerah. Di Kelantan seramai 120 sudah dilantik," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan perjumpaan bersama warga pendidik seluruh Kelantan di sini, malam tadi.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan watikah pelantikan PPH Kelantan yang kini berkhidmat dengan Majlis Harga Barang Negara (MHBN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Abdullah berkata, kerajaan menubuhkan MHBN bertujuan melindungi kepentingan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah daripada kesan kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

Katanya, majlis itu juga bertanggungjawab memastikan bekalan barangan yang mencukupi serta membendung kenaikan kadar inflasi negara.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri turut melahirkan kekesalan terhadap sikap kerajaan Pas Kelantan yang sanggup menolak pembangunan kerana menganggapnya akan membawa pelbagai masalah.

"Saya amat sedih mendengar sikap mereka yang menganggap kemajuan tidak begitu penting kerana ia akan mendatangkan pelbagai masalah. Saya diberitahu pemerintah negeri ini berfikiran begitu.

"Nampaknya mereka tidak setuju dengan kemajuan yang kita hendak bawa ke Kelantan. Bagi mereka ini menyusahkan dan idea yang meracuni fikiran rakyat," katanya.

Abdullah berkata, rakyat harus diperkasakan, bukannya diracuni dengan pemikiran sebegitu dan usaha pembangunan yang hendak dilakukan oleh Kerajaan Pusat bukan bercanggah dengan Islam.

Katanya, usaha yang hendak dilakukan ini baik kerana orang Islam sudah mencapai tahap terbilang sejak berzaman lagi.

"Pandangan yang disebarkan kepada orang Kelantan itu adalah satu pendapat yang meracuni pemikiran dan meletakkan kita dalam keadaan statik,” katanya.

0 ulasan: