Isnin, 3 Mac 2008

LAMAN WEB 'WARKAH UNTUK PM'


UTUSAN MALAYSIA : ( 02-03-2008 )

PEKAN 1 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web interaktif ‘Warkah Untuk PM’ sebagai saluran untuk rakyat mengemukakan pandangan dan masalah kepada kerajaan berhubung isu-isu semasa.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebagai Duta Khas laman web itu.

Laman web itu dibangunkan oleh tujuh badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Tabung Amanah Muhibah (Tamu), Yayasan Pekerja Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Najib berkata, laman web tersebut akan membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendengar secara peribadi segala isu dan pandangan yang mungkin menjadi kebimbangan rakyat.

Kewujudan laman web itu juga, katanya, membolehkan rakyat merasa lebih dekat dengan kerajaan apabila segala pandangan dan masalah yang dikemukakan, diberi perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, kata beliau, seramai 100 pengirim e-mel yang dianggap memberi pandangan bernas kepada kerajaan berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri.

‘‘Kerajaan akan mengambil sikap responsif terhadap apa juga masalah yang dikemukakan oleh rakyat menerusi laman web tersebut. Kalau idea yang dikemukakan bernas, ia mungkin boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di kediamannya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan susulan akan diambil dalam setiap masalah yang dikemukakan sama ada di peringkat Pusat atau negeri.

Beliau berkata, laman web itu bukan dibangunkan bagi tujuan pilihan raya semata-mata tetapi untuk sepanjang masa.

‘‘Laman web ini akan terus digunakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 oleh rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Najib, pelantikan Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Duta Khas bertujuan mempromosikan laman web tersebut dan membantu kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

‘‘Sheikh Muszaphar Shukor akan melakukan kerja-kerja promosi untuk meyakinkan rakyat mengenai faedah menggunakan laman web tersebut,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang pandangan dan masalah boleh melayari di alamat: www.warkahuntukpm. com.my.

Sementara itu, Najib juga berkata, kerajaan mempunyai keazaman yang tinggi untuk menghantar Mejar Dr. Faiz Khaleed sebagai angkasawan kedua negara pada 2010 atau 2011.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan pelbagai kementerian berkaitan bagi memastikan hasrat negara itu dapat direalisasikan.

‘‘Kalau belanjawan tidak menjadi masalah, kita akan menghantar seorang lagi angkasawan,’’ katanya pada majlis memperkenalkan Dr. Faiz sebagai ikon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini hari ini.

Tambah beliau, penghantaran seorang lagi angkasawan adalah sejajar dengan usaha untuk ‘mengangkasakan’ tamadun bangsa negara ini di mata dunia.

Mengulas pelantikan Dr. Faiz selaku ikon PLKN, Najib berkata, ia sebahagian daripada idea baru yang sentiasa diperkenalkan bagi memantapkan lagi PLKN.

‘‘Dr. Faiz akan menjelaskan kepada pelatih PLKN bahawa tidak ada sesuatu yang boleh menghalang kita daripada mencapai impian yang agung,’’ katanya.

Dalam pada itu, Dr. Faiz ketika ditemui berkata, beliau amat berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi ikon dan akan melawat semua kem PLKN, sekolah dan menemui penduduk kampung di pelbagai tempat untuk memberikan motivasi.

‘‘Saya akan memberikan ceramah kepada pelatih dalam mendorong pelatih agar mempunyai semangat juang yang tinggi,’’ katanya.

0 ulasan: