Isnin, 3 Mac 2008

AKU JANJI PEMIMPIN KELANTAN KEPADA PAK LAH


UTUSAN MALAYSIA : ( 02-03-2008 )

KUALA LUMPUR 1 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah mendapat akujanji daripada para pemimpin Kelantan untuk bersatu-padu, bersepakat dan bermuafakat bagi memajukan Kelantan.

Kata Perdana Menteri, akujanji itu dibuat oleh para pemimpin UMNO Kelantan dalam pertemuan terakhir mereka dengan beliau bahawa tidak akan ada persengketaan atau pergaduhan lagi di kalangan mereka.

Tambah beliau, para pemimpin UMNO Kelantan telah memberi akujanji akan menyokong calon Menteri Besar Barisan Nasional (BN) di Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

''Saya telah berbincang dengan para pemimpin UMNO Kelantan dan mereka telah memberi akujanji bahawa pada masa ini, terdapat kesepakatan, persefahaman bersama untuk melaksanakan pembangunan di negeri Kelantan sebagaimana dirancang.

''Sehubungan itu, saya mahu anak-anak Kelantan hapuskan rasa kurang keyakinan, tidak puas hati sebaliknya berilah sokongan kepada para pemimpin UMNO Kelantan yang kini telah bersatupadu dan bersepakat,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang pada Majlis Pertemuan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan yang bekerja di Lembah Klang di sini malam ini.

Pertemuan anak-anak Kelantan di perantauan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion termasuk cendekiawan, golongan korporat, profesional, kakitangan kerajaan dan swasta.

Pada masa ini, dianggarkan 800,000 anak Kelantan bekerja di Lembah Klang dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Abdullah memberitahu, perpaduan dan permuafakatan pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan ini atas kesedaran untuk berbakti dan membangunkan negeri itu seperti yang dirancang.

Katanya, ini selari dengan tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli korporat Kelantan yang telah menyumbang pelbagai idea untuk merangka pembangunan di negeri itu.

Perdana Menteri memberitahu, pada masa ini, kata putus terletak kepada anak-anak Kelantan sama ada inginkan BN menubuhkan kerajaan di negeri itu dan melaksanakan pembangunan yang dirancang.

''Kini BN hanya bergantung kepada anak-anak Kelantan dan kerajaan boleh ditubuhkan dengan memberi kata putus untuk menentukan siapa yang akan menubuhkan kerajaan.

''Saya benar-benar berharap negeri yang mempunyai potensi ini dalam tempoh seminggu penentuan akan dibuat oleh anak-anak Kelantan agar balik dan membuat penentuan dengan mengundi BN.

''Mahu atau atau tidak mahu itu adalah soalannya kepada anak-anak Kelantan agar BN memerintah di negeri itu, saya serius kerana hendak memajukan negeri itu,'' katanya.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Pengerusi Majlis Kemajuan Kelantan (MKK), Datuk Dr. Noordin Razak

0 ulasan: