Isnin, 3 Mac 2008

AHLI BN KENA SETIA, JUJUR JAMIN KEMENANGAN


BERITA HARIAN : (02-03-2008)

BACHOK: Barisan Nasional (BN) Kelantan menuntut kesetiaan setiap ahlinya bagi menjamin kemenangan semua calonnya yang bertanding di negeri ini dalam usaha menumbangkan kerajaan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kesetiaan kepada parti adalah sesuatu yang mutlak dan semua pihak tidak harus berasa berbelah bagi memberi sokongan kepada calon BN.

Katanya, kemenangan setiap parti yang bertanding pada pilihan raya banyak bergantung kepada sikap setia dan kejujuran terhadap parti, tanpa mengira kumpulan tertentu.

"Kesetiaan kepada parti adalah mutlak dan kita sebagai ahli serta pendukung parti tidak boleh sama sekali berbelah bahagi kerana kita mahukan parti mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum ini.

"Kalau semua ahli setia, sudah tentu kita dapat menambat hati rakyat dan mereka akan berasa selesa menyokong kita, sekali gus memberi peluang BN memerintah negeri ini dengan baik," katanya kepada pemberita selepas Himpunan Mesra Anggota Sektor Awam Jajahan Bachok, di Pusat Kokurikulum Kelantan, Tangok, dekat sini, petang semalam.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, beliau kini gembira berikutan tiada lagi masalah dalaman di kalangan ahli parti itu di negeri ini.

Malah, beliau yakin BN semakin hampir menumbangkan Pas ketika kempen pilihan raya masuk minggu kedua, berikutan perpaduan kukuh yang semakin ketara di kalangan ahli, khususnya pada peringkat bawah.

Selain itu, katanya, perubahan pada sikap rakyat Kelantan juga semakin ketara disebabkan keinginan melihat kepemimpinan negeri berubah kepada pemimpin yang mampu membawa kemajuan dan kemakmuran.

"Masalah dalaman sudah selesai dan kita berharap tidak ada lagi 'cah keting' pada peringkat bawah kerana keadaan BN pada masa sekarang cukup kukuh dan menghampiri kemenangan.

"Kini nampak jelas angin perubahan sudah bertiup ke arah kita, apatah lagi selepas melancarkan Manifesto BN Kelantan yang dianggap antara yang terbaik pernah dijanjikan kepada rakyat negeri ini.

"Saya berharap rakyat dapat membaca manifesto yang diedarkan kepada mereka dan saya berjanji akan melaksanakan tugas sebaik mungkin nanti," katanya.

Mengulas langkah Pas menjalankan kempen memboikot media massa, beliau berkata, tindakan itu sekali gus menggambarkan sikap tidak profesional dan double standard pemimpin Pas terhadap media negara ini.

Katanya, beliau juga berasa hairan kerana pada masa sama Pas menerima baik dan mengiktiraf lidah rasmi parti itu, Harakah, walaupun ada laporan menghina atau menjatuh maruah orang lain.

0 ulasan: