Selasa, 4 Mac 2008

KHAIRY : CERMIN DIRI DULU

UTUSAN MALAYSIA – (04-03-2008)


RANTAU PANJANG 3 Mac - Parti pembangkang diminta mencermin diri terlebih dahulu sebelum menggunakan isu pertalian keluarga dalam parti politik semasa tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, isu tersebut sewajarnya tidak perlu ditimbulkan kerana ramai anak atau saudara-mara pemimpin parti politik turut bertanding dalam pilihan raya.

"Saya tidak faham kenapa isu saya menantu Perdana Menteri digunakan pembangkang. Kalau kira pembangkang, rata-rata calonnya anak kepada pemimpin mereka.

"Sebagai contoh, anak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, anak Pengerusi dan Penasihat DAP pun turut bertanding. Begitu juga dengan saudara-mara pemimpin Pas ada juga yang menjadi calon.

"Ini perkara biasa, tidak timbul masalah keluarga bergiat dalam politik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keasyikan Pas menggunakan isu dirinya sebagai menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kempen pilihan raya umum.

Khairy berkata, Pas mungkin menyerang keperibadiannya disebabkan kelantangan beliau mengkritik parti pembangkang.

"Kalau dari segi agresif, memang saya agresif dengan pembangkang sebab adalah menjadi tugas saya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk lawan pembangkang.

"Mungkin di kalangan orang Pas, itu jadi modal baik tetapi bagi orang UMNO dan atas pagar, kita mesti agresif untuk tuntut perubahan di negeri Kelantan," katanya.

0 ulasan: