Selasa, 4 Mac 2008

CALON Dr. Ir., Sr. DI KELANTAN

UTUSAN MALAYSIA – (04-03-2008)

PILIHAN Raya Umum Ke-12 (PRU 12) kali ini mencatatkan beberapa sejarah yang agak unik untuk Malaysia. Pilihan raya kali ini menyaksikan paling ramai penyandang digugurkan yang membawa maksud peratus calon muka baru adalah paling tinggi dicatatkan untuk semua parti politik yang bertanding.

Rata-rata bagi setiap negeri dan juga parti politik, peratus calon muka baru yang diperkenalkan adalah melebihi 35 peratus, iaitu satu angka yang agak tinggi. Begitu juga dengan jumlah calon yang mempunyai pertalian saudara di antara sesama sendiri ataupun yang berasal daripada keluarga politik juga dikatakan agak tinggi.

Peratus calon muka baru yang besar secara amnya disifatkan sebagai suatu perkara yang baik kerana rakyat sudah tentu akan menyaksikan perubahan dari segi strategi dan bentuk khidmat yang bakal dibawa oleh muka baru tersebut.

Walaupun langkah mengemukakan muka baru ini mempunyai risikonya yang tersendiri, tetapi hasil yang bakal dipersembahkan sama ada kepada parti politik dan juga rakyat adalah berbaloi.

PRU 12 juga menyaksikan paling ramai golongan profesional yang terlibat menjadi calon dan perkembangan ini dianggap begitu sihat kerana wakil rakyat yang berwibawa dari segi latar belakang akademik sudah pasti mempunyai nilai peribadi yang tinggi.

Pada pilihan raya kali ini, terdapat seramai 106 calon yang bergelar Dr. (doktor perubatan atau doktor falsafah) dan tujuh calon yang bergelar Ir. (Ingénieur – jurutera profesional). Tidak syak lagi 113 calon profesional tersebut besar kemungkinan akan menjadi wakil rakyat paling berkesan kerana latihan profesional yang dimiliki sudah tentu akan digunakan untuk mencurah bakti kepada rakyat sama ada melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Profesional

Paling menarik apabila berbincang mengenai calon profesional adalah apa yang sedang berlaku di Kelantan melalui rebutan 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN. Tidak syak lagi Barisan Nasional (BN) yang mempersembahkan calon P 25 Bachok iaitu Datuk Dr. Awang Adek Husain sebagai bakal Menteri Besar jika BN diberikan mandat memerintah adalah sesuatu yang sukar ditolak oleh rakyat Kelantan.

Ini adalah kerana Awang Adek Husain mempunyai latar belakang profesional yang begitu kental melalui pengalaman korporat dan ijazah doktor falsafah bidang ekonomi.

Secara keseluruhannya Kelantan mempunyai 13 calon profesional yang mempunyai gelaran Dr. dan dua calon Ir. Satu perkara yang lazim terlepas pandang adalah Kelantan juga mempunyai lima calon yang membawa gelaran Sr. (Surveyor – Jurukur profesional).

Calon profesional Sr. ini didahului oleh calon P 26 Ketereh iaitu Datuk Seri Sr. Annuar Musa, diikuti oleh calon N25 Kok Lanas Datuk Sr. Md. Alwi Che Ahmad, N13 Chetok Datuk Sr. Abdul Rahim Abdul Rahman, N12 Pengkalan Pasir Sr. Hanafi Mamat dan juga tidak ketinggalan P30 Jeli Sr. Mohd Afandi Mohamad.

Calon profesional Sr. tersebut bersama-sama dengan calon profesional yang lain iaitu Dr. dan Ir. dijangka membawa satu arus perubahan di Kelantan yang secara dasarnya agak ketinggalan berbanding dengan negeri lain di Malaysia. Jika ditakdirkan kesemua calon profesional Kelantan menang dalam PRU 12 akan datang, maka Kelantan akan mempunyai 20 calon profesional yang mempunyai gelaran Dr., Ir. atau Sr.

Jumlah calon profesional tersebut merangkumi hampir 35 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen dan DUN Kelantan dan ini mungkin dianggap sebagai isyarat perubahan yang bakal dinikmati oleh rakyat negeri tersebut.

0 ulasan: