Isnin, 3 Mac 2008

KESEDAR BERI HAK MILIK TANAH JIKA BN TAWAN KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – (03-03-2008 )

KUALA KRAI 2 Mac - Setiap penduduk generasi kedua dalam rancangan pembangunan agropolitan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan diberi hak milik tanah dan rumah apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menawan Kelantan dari parti pembangkang.

Pengerusi Kesedar, yang juga calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong, Datuk Ramzi Abdul Rahman, berkata mereka juga diberi tanah ladang seluas 2.4 hektar setiap seorang bagi mengusahakan tanaman getah atau kelapa sawit.

"Golongan belia yang terbabit tidak perlu lagi memikirkan soal rumah sendiri kerana kemudahan itu disediakan oleh kerajaan melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB)," katanya.

Menurutnya BN mempunyai rancangan masa depan yang jelas dalam membantu golongan rakyat termiskin termasuk membina rumah tiga bilik dan menyediakan peluang pekerjaan kepada gologan belia.

"Belia terbabit diberi rumah dengan bayaran paling minima sebanyak RM100 sebulan, bagi memastikan mereka mempunyai rumah kediaman sendiri tanpa mengharapkan orang tua (ibu bapa)," katanya.

Terdapat kira-kira 3,124 keluarga termiskin di kawasan Kesedar yang perlu dibantu dengan menyediakan tanah untuk berladang dan elaun bulanan untuk sara hidup, jelasnya.

"Kita akan berikan elaun bulanan sebanyak RM1,000 di samping pekerjaan sampingan bagi mengurangkan beban tanggungan harian mereka," katanya.

Beliau berkata penduduk juga disediakan dengan pekerjaan sampingan seperti membuat kuih, perabut dan bekerja di kilang bagi menampung keperluan seharian bagi menambah pendapatan.

"Apa yang dilakukan oleh Kesedar ialah untuk memastikan golongan miskin dihapuskan menjelang 2010 dan belia mendapat pekerjaan yang setimpal," katanya.

- Bernama

0 ulasan: