Isnin, 3 Mac 2008

KELANTAN RUGI JIKA TOLAK BN


UTUSAN MALAYSIA – (03-03-2008 )

KOTA BAHARU 2 Mac. - Rakyat Kelantan yang akan rugi jika menolak peluang rancangan pembangunan RM10 bilion yang telah dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk negeri ini.

Manifesto BN juga menggariskan rancangan pembangunan dalam memberi lonjakan mega untuk kelantan bagi memacu negeri Cik Siti Wan Kembang dalam pengukuhan ekonomi yang mantap sejajar dengan pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang bernilai RM112 bilion untuk negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selatan Johor.

Dekan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Ibrahim Che Omar menyifatkan rancangan pembangunan yang dibentangkan BN adalah komprehensif dalam "merawat" Kelantan untuk memberi peluang kemasukan perniagaan dan ekonomi yang rancak.

"Tidak ada peluang lagi sekali untuk rakyat Kelantan merebut segala yang telah diatur kerajaan kerana peluang yang mewah ini hanya akan datang sekali sahaja," katanya.

Beliau, yang juga Penyelaras ECER Kementerian Pengajian Tinggi, berkata segala bentuk ruang menambah baik untuk Kelantan telah tersedia malahan ada projek pembangunan itu telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu, bermulanya dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9).

Antara program pembangunan yang telah bermula adalah pembinaan UMK sendiri yang telah bermula sejak tahun 2005, katanya.

Prof Ibrahim berkata rakyat Kelantan sememangnya mempunyai kepandaian dan kreativiti untuk memajukan diri sendiri namun peluang di negeri sendiri tidak ada menyebabkan mereka terpaksa mencari peluang di negeri lain.

Justeru, peluang yang ditawarkan BN merupakan rancangan pembangunan yang mencakupi pelbagai pembangunan modal insan dan prasarana yang lengkap untuk menyediakan peluang yang secukupnya bagi membolehkan rakyat Kelantan bersaing di arena antarabangsa, katanya.

Kerajaan pusat menyediakan 205 projek yang sedang dilaksanakan secara berperingkat di bawah ECER dan ia dijangka mampu menyediakan lebih 560,000 peluang pekerjaan sehingga tahun 2020.

Anggaran kos keseluruhan yang diperlukan untuk membangunkan ECER ialah sebanyak RM112 bilion bagi tempoh 15 tahun sehingga tahun 2020.

Malahan ECER dilakukan dengan teliti kerana 40 peratus kawasan tanah yang terlibat dengan projek itu merupakan rizab Melayu dan secara tidak langsung meningkat nilai hartanah.

Sejajar dengan perancangan ECER, manifesto BN turut menyempurnakan kemudahan prasarana bagi membolehkan rancangan pusat menjadi satu realiti.

Antara yang ditawarkan adalah projek tebatan banjir dan hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang yang bernilai RM1 bilion, meningkatkan hubungan pengangkutan dengan projek lebuh raya Kota Baharu-Gua musang, memajukan sukan negeri dengan pembinaan kompleks sukan dan stadium negeri baru dan memartabatkan Islam dengan pembinaan masjid negeri yang baru serta pemulihan serta merta 600 buah masjid yang ada di Kelantan.

Tokoh pemikir dan penganalisis Kelantan, Ahmad Badrulhisham Che Kasim berkata projek yang akan dilaksanakan oleh BN masih luas dan terperinci jika dilihat secara mikro.

"Ia menyediakan peluang khusus bukan untuk generasi sekarang malah peluang itu jika direbut rakyat bakal memberikan ruang kepada generasi yang akan datang," katanya.

Perancangan dalam memartabatkan Islam berdasarkan konsep penghayatan membangunkan Islam secara kaedah sebenar turut dicerminkan melalui manifesto berkenaan.

Dalam manifesto BN, selain pembinaan kompleks masjid negeri yang bernilai RM100 juta, kerajaan BN juga berhasrat untuk melaksanakan serta merta menyalurkan bantuan RM50,000 setiap masjid mukim, menaikkan elaun imam masjid dari RM250 kepada lebih daripada RM1,000 sebulan, melantik Al-Hafiz menjadi pegawai masjid, menubuhkan Darul Quran dan skim pembiayaan Hafiz muda dan menaikkan gaji guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang selama ini menerima pelbagai rungutan di bawah kepimpinan PAS.

Dalam aspek perniagaan kecil-kecilan BN berjanji untuk menghapuskan cukai kepala bakul peniaga kecil semua pasar dan melaksanakan skim mikro kredit untuk usahawan wanita dan penjaja.

Bagi rakyat berpendapatan rendah, BN berjanji untuk membina rumah bagi rakyat miskin dan memberikan peluang pemilikan tanah dan rumah untuk semua kaum di Kelantan.

Rakyat di luar bandar pula, BN berjanji untuk mengkaji semua cukai supaya tidak membebankan rakyat, memberikan pemilikan tanah kepada rakyat tidak bertanah dan melaksanakan skim pemulihan tanah terbiar.

Ahmad Badrulhisham berkata rakyat Kelantan tidak seharusnya mudah terpedaya dengan rancangan pembangunan yang telah dilaksanakan PAS kerana kemampuan mereka yang terhad.

"Mereka mempunyai niat untuk membangun bersama Islam tetapi apa yang ditawarkan oleh BN boleh melonjakkan lagi pembangunan Kelantan.

"Sekaligus, negeri yang dikenali sebagai serambi Mekah ini mampu memperlihatkan kehebatan dari segi kemajuan dan tamadunnya serta pengisian ilmu pengetahuan yang tinggi dan memartabatkan Islam di mata dunia," katanya.

Bagi Prof. Ibrahim, rakyat perlu melihat kerajaan BN mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah wajah Kelantan menjadi sebuah Kelantan yang baru serba moden.

"Namun kemodenan yang ditawarkan BN tidak akan mengikis budaya Melayu dan Islam kerana perkara itu turut dititikberatkan dalam program pembangunan untuk menunjukkan konsep sebenar Kelantan membangun bersama Islam," katanya.

- Bernama

0 ulasan: