Isnin, 3 Mac 2008

HARGA TEMBAKAU KEKAL RM13.80 HINGGA 2012


UTUSAN MALAYSIA – (03-03-2008 )

BACHOK 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan nasib penanam tembakau yang majoriti besarnya berada di Kelantan terbela sepanjang proses peralihan kepada tanaman baru.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini termasuk memastikan harga komoditi tersebut terus kekal pada kadar RM13.80 sekilogram di peringkat pengilang sehingga tahun 2012.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan sehingga kini masih belum ada sebarang tanaman gantian yang mampu memberikan pulangan setanding seperti mana tembakau.

''Kita sedar rata-rata penanam tembakau amat bergantung kepada harga sekarang untuk memperoleh pendapatan yang baik bagi menyara keluarga.

''Sebab itu apabila bakal Menteri Besar kita, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mohon supaya harga sekarang kekal sehingga tahun 2012, saya kata kita akan pastikannya demi masa depan penanam tembakau," katanya.

Najib berucap pada Majlis Penyampaian Peralihan Penanam Tembakau di Kampung Sungai Dua, Telong dekat sini hari ini.

Seramai 4,815 penanam tembakau di sekitar jajahan Bachok hari ini menerima baki bayaran bantuan peralihan tanaman yang keseluruhannya berjumlah RM5,000 seorang.

Bagi bantuan peralihan penanam tembakau (BPPT), kerajaan memperuntukkan RM86.6 juta kepada hampir 17,000 penanam tembakau di seluruh negara.

Industri tanaman tembakau distruktur semula berikutan pelaksanaan AFTA pada tahun 2010 yang menyaksikan tembakau keluaran Malaysia kurang berdaya saing kerana harga bahan itu yang diimport dari Kemboja dan Indonesia akan lebih murah.

Terdahulu, Awang Adek dalam ucapannya memberi jaminan tanaman tembakau akan diangkat sebagai agenda negeri sekiranya BN diberi mandat memerintah Kelantan.

Katanya, ini berbeza dengan pemerintahan Pas yang jelas meminggirkan tanaman tersebut hingga nasib masyarakat penanam tembakau tidak mendapat pembelaan mereka.

''Pernah sekali (pemimpin kerajaan Pas) dalam satu ekspo industri hanya lalu sahaja, tidak singgah atau berpaling (ke gerai), nak tunjuk betapa hinanya tanaman ini.

''Mereka tidak tahu cara yang dapat bela nasib kita (penanam). Tapi jika BN memerintah, nasib semua penanam tembakau akan terbela, tak perintah pun kita dah buat macam-macam, apatah lagi kalau berkuasa.

''Cumanya saya minta orang Bachok jangan pandai minta sahaja, tetapi kena tahu membalas. Saya ni naik tebal muka jumpa Datuk Seri Najib, lepas minta, minta lagi untuk penanam tembakau," ujarnya.

0 ulasan: