Rabu, 5 Mac 2008

BATAL GUNA DAKWAT, SPR PERMAINKAN RAKYAT


HARAKAH – (05-03-2008)

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum ke-12 ini menunjukkan suruhanjaya ini tidak berwibawa dan mempermainkan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Bersih, Mohamad Sabu menegaskan ekoran tindakan SPR itu,sudah tiba masanya Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman meletak jawatan.

"Agenda yang dibawa SPR bukan lagi sebagai sebuah badan bebas dan bukan lagi bertaraf suruhanjaya. Jika beberapa hari sebelum penamaan calon, kita dikejutkan dengan setem duti diwajibkan bagi setiap borang pencalonan, tetapi pada hari pencalonan, diumumkan setem duti tersebut tidak diwajibkan.

"Dan hari ini timbul pula penggunaan tanda dakwat tidak akan dilaksanakan. Jika tiada undang-undang mengenai penggunaan ini, SPR mesti membawa perkara ini untuk pindaan undang-undang di Parlimen,"katanya sewaktu dihubungi Harakhdaily malam tadi.

Mohamad yang juga Naib Presiden PAS turut mempersoalkan, jika selama ini kerajaan boleh pinda perlembagaan untuk lanjutkan tempoh Pengerusi SPR, undang-undang bagi penggunaan dakwat kekal ini juga seharusnya dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Yusuff berkata, PAS sudah menjangkakan daripada awal, kerajaan tidak akan bersetuju dengan pandangan pembangkang berhubung dengan penggunaan tanda dakwat kekal ini.

Katanya untuk meredakan 'mood ' pihak pembangkang, SPR mengambil langkah awal kononnya bersetuju untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal.

Katanya SPR juga membuat keputusan tersebut tanpa merujuk keputusan kerajaan, yang mana sebarang peraturan mengikut tatacara pengundian mesti mendapat kelulusan kabinet.

"Apabila SPR membuat maklum balas bagi hak pembangkang, PAS sudah menjangkakan daripada awal, tidak mudah bagi BN untuk menerima. Sebelum ini, pelbagai alasan yang diberikan bahawa perkara ini sukar dilaksanakn termasuk dari segi syarak.

"Ini kerana, di sebalik pelaksanaan dakwat kekal ini akan mematikan beberapa strategi kotor BN,"katanya.

Tambahan pula katanya, buku Peraturan Pilihan raya yang diedarkan untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-12 ini, tidak terdapat apa-apa pindaan pada Seksyen 19. Melalui peraturan tersebut, mengesahkan SPR tidak akan berusaha untuk meminda atau memasukkan penggunaan dakwat celup jari atau titik dakwat di kuku.

Katanya, menurut SPR sekiranya penggunaan dakwat celup jari atau titik dakwat di kuku ini dilaksanakan, bermakna tatacara pengundian akan bermula dengan pengesahan kad pengenalan dan nama pemilih dalam buku daftar oleh kerani pertama. Seterusnya kerani kedua akan menjalankan titik dakwat pada jari. Langkah seterusnya kerani ketiga akan memberi kertas undi dan menindik kertas undi untuk dipangkah. Akhir sekali pengundi akan memasukkan kertas undi ke dalam tong disediakan.

Bagaimanapun katanya, prosedur ini tidak terdapat dalam Seksyen 19 Peraturan Pilihan raya. Jika penggunaan dakwat celup jari atau titik dakwat di kuku ingin dilaksanakan, Seksyen 19 ini harus jelas.

Dalam pada itu jelas Wan Nik, pihaknya juga telah 'tercium bau' melalui pihak tertentu yang melaporkan terdapat beberapa 'broker tertentu' yang dilantik oleh pihak Umno untuk mengundi lebih daripada sekali.

"Langkah paling selamat untuk mereka mengundi lebih daripada sekali ialah tiada apa-apa tanda dakwat pada jari pengundi. Atas hujah Umno ghairah ingin menawan Kelantan, perjalanan pilihan raya ini dikawal melalui dakwat,"katanya.

Katanya lagi, sungguh pun penggunaan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi tidak dilaksanakan, PAS bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu menyatakan keputusan itu dibuat pada mesyuarat berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

Alasan yang diberikan SPR penggunaan dakwat kekal itu perlu dibatalkan kerana hasil daripada siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, yang mengesahkan terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi.

Sebelum ini, pada 13 Ogos 2007 SPR telah memutuskan akan menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada pilihan raya umum akan datang.

Abdul Rashid sewaktu pengumuman tersebut menyatakan SPR membuat keputusan untuk menggunakan dakwat khas dari India , yang sukar dipadamkan untuk beberapa hari, adalah selaras dengan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan yang membenarkan penggunaannya yang tidak melanggar hukum syarak.

Penggunaan tanda dakwat kekal merupakan salah satu daripada tuntutan Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) untuk menghalang pengundian berganda.

0 ulasan: