Sabtu, 1 Mac 2008

BN IKRAR NAIKKAN ELAUN IMAM JIKA PAS TUMBANG


BERITA HARIAN – ( 01-03-2008 )

BACHOK: Barisan Nasional (BN) Kelantan menjanjikan kenaikan elaun semua imam di seluruh negeri ini jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan pada pilihan raya umum, kali ini.

Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kenaikan itu akan memastikan masa depan imam lebih terjamin selepas kegagalan Kerajaan Pas Kelantan membela nasib mereka selama 18 tahun.

"Jika diberi mandat oleh rakyat, kita akan mengkaji menaikkan elaun tok imam kerana BN mahu mengangkat kedudukan mereka, jika taraf hidup mereka meningkat, imej imam dan agama Islam dapat dimartabatkan lebih tinggi.

"Di bawah pemerintahan Pas, masjid berada dalam keadaan daif dan terbiar. Kalau di Terengganu, dalam empat tahun saja 67 masjid dibina tetapi di Kelantan satu masjid pun tak ada sepanjang 18 tahun Pas memerintah.

"Jika BN menjadi kerajaan negeri, kita akan memastikan institusi masjid dan imam dijaga sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan anak beranak di Kampung Badak, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi yang juga calon BN Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed, selaku tetamu khas kerana beliau adalah anak jati Kampung Badak dan mempunyai ramai sanak-saudara di kawasan itu.

Dr Awang Adek berkata, walaupun menjanjikan pembinaan projek mega seperti stadium bertaraf antarabangsa jika kembali memerintah Kelantan, BN tetap mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Kita tetap tidak akan melupakan kebajikan rakyat di kampung. Malah, sebelum ini Kerajaan Pusat banyak menyalurkan bantuan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk di Bachok," katanya.

Dr Awang Adek turut mengakui Bachok antara kawasan panas di Kelantan pada pilihan raya umum kali ini kerana Pas meletakkan calon terkuat, termasuk Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

Katanya, walaupun pemerhati menganggap Bachok dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok yang ditandinginya kubu kuat Pas, beliau yakin rakyat sedar masa depan mereka lebih terjamin jika memilih BN.

"Di Perupok, banyak kawasan yang dulunya kubu kuat Pas, sekarang kita dah boleh masuk dan jika mengikut keadaan semasa dan sambutan rakyat, Insya-Allah kita mampu menang di sini.

"Saya yakin rakyat Bachok dapat melihat apa yang kita buat sepanjang empat tahun lalu termasuk pembinaan Pelabuhan Kuala Kemasin, hospital dan Universiti selain program meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Malah, saya percaya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Bachok akan terus dibangunkan sehingga menyediakan banyak peluang ekonomi kepada penduduk kebanyakannya nelayan dan petani," katanya.

0 ulasan: