Sabtu, 1 Mac 2008

AMANAT PAK LAH UNTUK ANAK KELANTAN


BERITA HARIAN – (01-03-2008)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka memberi amanat penting kepada seluruh anak Kelantan di perantauan pada satu majlis perjumpaan dengan mereka di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, malam ini.

Amanat itu antara lain dijangka untuk memberi sokongan kepada anak Kelantan di perantauan supaya sedia membuat perubahan kepada negeri kelahiran mereka dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac ini.

Setiausaha Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) Datuk Suhaimi Yacob, berkata seluruh anak Kelantan di Lembah Klang yang dianggarkan seramai 300,000 orang dijemput hadir bersama Perdana Menteri dan mendengar amanat beliau yang dijangka menyentuh mengenai ke arah perubahan di Kelantan.

Katanya, sempena majlis itu yang dianjurkan MKK, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti persembahan dikir barat dan lawak jenaka kumpulan Salam Pantai Timur yang menampilkan Mek dan Jali.

“Majlis perjumpaan Perdana Menteri dengan anak Kelantan di Lembah Klang akan bermula pada jam 7.30 malam dengan makan minum disediakan serta kemudahan tempat solat di stadium itu.

“Kita berharap seluruh anak Kelantan di Lembah Klang dapat meluangkan masa untuk hadir dan beramah mesra dengan Perdana Menteri selain mendengar amat penting daripada beliau,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan, Tan Sri Lau Yin Pin, berkata pengundi minoriti di negeri ini harus memperkukuhkan sokongan terhadap BN bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dikuasai BN.

Bercakap ketika ditemui di sini, semalam, beliau berkata, tanggungjawab pengundi minoriti seperti Cina, India dan Siam adalah besar demi mengubah masa depan mereka dan negeri ini.

Katanya, walaupun jumlah mereka kecil, hasil analisis mendapati pengundi majoriti ini memberikan impak besar terhadap keputusan pilihan raya lalu.

1 ulasan:

atap_aje berkata...

kat mana bukit kiara tu, dekat ngan bukit jalil ker?
aku kat shah alam, tak tau la jalan mana nak pergi. ker kat mana?