Sabtu, 1 Mac 2008

ANNUAR IKRAR BELA NASIB RAKYAT


BERITA HARIAN – ( 01-03-2008 )

KOTA BHARU: Slogan Barisan Nasional (BN), ‘Tradisi Membela Rakyat’ akan menjadi pembakar semangat calon baru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh dalam memperjuangkan nasib rakyat yang semakin ‘parah’ sejak di bawah pemerintahan Pas.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Kerian, Anuar Safian, 37 berikrar ‘membebaskan’ rakyat kawasan itu terutama penduduk miskin keluar daripada kepompong kemiskinan tanpa mengira parti.

Bagi mengatasi masalah itu, Anuar berkata, pihaknya sudah melakukan kajian selama beberapa tahun termasuk mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk DUN Pasir Tumboh.

Katanya, paling ketara ialah tiadanya peluang pekerjaan untuk belia dan remaja menyebabkan ramai terbabit dalam kegiatan tidak sihat seperti mat rempit, menyamun, menagih dadah dan mencuri.

“Tidak dinafikan, sehingga kini, DUN Pasir Tumboh masih dilabelkan polis sebagai kawasan hitam berikutan kadar jenayah yang semakin meningkat walaupun pelbagai pendekatan sudah diambil membendung gejala itu.

“Namun, paling mengecewakan, wakil rakyat Pas langsung tidak mengambil tindakan sebaik mungkin dalam menangani keadaan itu di sekitar DUN ini,” katanya.

Anuar berkata, sebagai langkah awal jika BN diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini, Pemuda Umno Kelantan akan membina kompleks sukan termasuk pusat kebudayaan di setiap Parlimen di negeri ini.

Katanya, BN merancang untuk sebuah litar lumba yang lokasinya sudah dikenal pasti dalam usaha mengatasi masalah remaja dan belia terutama gejala mat rempit.

“Kita juga merancang membina taman tema keluarga bagi setiap tiga zon di Parlimen ini berikutan kurangnya kemudahan riadah itu walaupun sudah 18 tahun Pas memerintah.

“Semua itu bukanlah khayalan seperti Pas membayangkan hendak membangunkan sebuah negara kebajikan, tetapi apa yang hendak BN lakukan itu mampu direalisasikan,” katanya.

Anuar berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, penduduk DUN Pasir Tumboh sudah mula sedar dan bersedia untuk menolak kepemimpinan Pas di kawasan itu.

0 ulasan: