Sabtu, 1 Mac 2008

AWANG ADEK IDAM KELANTAN MAKMUR


BERITA HARIAN – ( 01-03-2008 )

BAGAIMANA kedudukan BN Kelantan, selepas hampir seminggu berkempen.

Berjalan lancar, tetapi kita perlu terus meningkatkan lagi usaha dan kerja berpasukan, tidak boleh leka atau berasa terlampau yakin. Yang penting mulai sekarang hingga hari pengundian, kita bekerja lebih kuat, lebih terancang dengan membabitkan keseluruhan kekuatan jentera kerana masanya semakin hampir ke garis penamat. Kita kena rancang dengan baik, pantau dengan rapi dan kerja dengan kuat.

Ini adalah pertama kali sejak 1990, BN memasuki pilihan raya umum di Kelantan dengan mengumumkan seorang calon bakal Menteri Besar, selepas kali terakhir berbuat demikian pada 1978. Apa rasional pendekatan ini.

Kita berasakan ini adalah sesuatu yang positif untuk BN Kelantan kerana sudah sampai ke satu tahap agak getir, tetapi kukuh dari segi kekuatan kita. BN berasakan lebih baik jika rakyat Kelantan diberitahu calon yang akan menerajui kerajaan bila diberi mandat. Semoga ia dapat diambil kira rakyat. Saya rasa dengan pengalaman sebagai Penolong Gabenor Bank Negara, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Timbalan Menteri Luar Bandar dan Timbalan Menteri Kewangan, rakyat Kelantan boleh berasa yakin bahawa calon MB untuk BN ini layak dan sesuai untuk memajukan Kelantan. Kita berasakan bahawa BN mempunyai peluang paling baik untuk memenangi Kelantan. Saya rasa pendekatan mengetengahkan calon MB yang dibuat juga dapat membantu ke arah penubuhan kerajaan BN di Kelantan. Saya lihat rakyat Kelantan berasa yakin bahawa sekiranya kerajaan BN dipilih pada pilihan raya ini, pemerintahan BN akan dipimpin seseorang yang mempunyai pengalaman dan kelayakan bersesuaian.

Bila dicalonkan bertanding DUN, Datuk memilih kubu kuat Pas untuk meletakkan diri. Tidakkah percaturan ini begitu bahaya.

Saya sebenarnya tidak begitu mengambil kira sangat percaturan ini. Politik saya mudah iaitu oleh kerana saya berasal dari Kampung Perupok yang terletak dalam DUN Perupok, sewajarnya saya bertanding di sini. Walaupun DUN Perupok adalah kawasan kuat yang diwakili lawan, saya terpaksa kerana prinsip saya mesti bertanding dalam DUN sendiri... itu yang sebaik-baiknya. Tiada sebab mengapa saya harus mencari DUN lain. Malah, kalau Perupok umpamanya menjadi kubu kuat BN, saya juga akan bertanding di sini, sebab di sini bukan setakat DUN saya tetapi juga keluarga dan rumah saya. Walaupun ia kubu kuat lawan, saya terpaksa berdepan keadaan itu dan menyerahkan nasib politik saya di tangan anak DUN Perupok yang terdiri daripada adik beradik sendiri, ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai, kerana kawasan sepanjang pantai inilah, kawasan saya yang juga ‘orang pantai.’ Bila saya pergi jumpa mereka, itulah yang saya cakap. Hakikatnya saya menawarkan diri di DUN ini dan menyerahkan nasib saya di tangan mereka untuk ditentukan. Jadi saya tidak ikut sangat percaturan, sama ada kawasan ini kuat atau tidak, yang lebih penting ini adalah tempat saya dilahir dan dibesarkan. Saya harap mereka akan bersama dan membantu saya, kerana inilah satu-satunya peluang melihat anak jati Perupok menjadi MB seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimana dengan manifesto yang akan dibentang oleh BN kepada rakyat Kelantan kali ini yang juga pendekatan penting dalam pilihan raya 8 Mac ini.

Manifesto akan diumumkan 1 Mac (hari ini) dan kita percaya, ia barang kali yang terbaik pernah dibentuk dan apabila diumumkan nanti, saya yakin manifesto ini juga adalah suatu perancangan positif untuk menarik sokongan rakyat Kelantan. Berdasarkan manifesto itu, rakyat akan faham kerana kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk membawa kemajuan ke Kelantan. Ini akan dapat dilihat oleh rakyat Kelantan dengan jelas. Keduanya, apa yang dijanjikan BN adalah yang dapat dilaksanakan melalui peruntukan sumber kewangan mencukupi kerana kita tidak mahu seperti manifesto parti lawan yang menjanjikan banyak program tetapi mereka tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakannya. Sebaliknya, BN mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek besar seperti kompleks stadium, pembinaan masjid negeri hingga yang kecil seperti perumahan rakyat yang cukup penting di Kelantan. Kita juga akan mewujudkan peluang lebih banyak untuk rakyat Kelantan, selain memberi perhatian kepada soal perniagaan, cukai, tunggakan kepada cukai, semuanya akan diumumkan dalam manifesto ini termasuk aspek keagamaan, sukan dan perniagaan. Hampir semua lapisan rakyat akan dapat manfaat daripada manifesto ini yang saya yakin akan menarik minat dan sokongan rakyat Kelantan.


Pas mendakwa Datuk tidak membawa sebarang pembangunan ke Parlimen Bachok sepanjang sepenggal jadi wakil rakyat di sini sejak empat tahun lalu. Betulkah.

Saya tak tahu apa yang Pas maksudkan. Projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bernilai RM205 juta sudah memulakan operasinya mulai Jun tahun lalu dengan mengambil 300 pelajar perintis. Kita juga sudah dapat kelulusan projek Kemasin dengan peruntukan awalnya RM30 juta dan selepas beberapa fasa pelaksanaannya akan menelan kos sehingga RM200 juta. Ini akan beri kesan kepada seluruh kawasan Kemasin sebagai pusat perikanan dan industri laut. Kita juga sudah mengambil tanah ekoran kelulusan pembinaan Kolej Profesional Mara yang menelan belanja RM40 juta, manakala tender projek jalan luar bandar, Jalan Pantai Melawi bernilai RM18 juta yang dibuka bulan ini, kita sudah laksanakan penambahbaikkan Pantai Irama dengan kos RM2 juta, serta sudah selesai ambil tanah untuk Kolej Jururawat dan Hospital Bachok bernilai RM70 juta. Selain itu, banyak perumahan untuk rakyat seperti Rumah Mesra Rakyat dengan pembinaan lebih 200 rumah, rumah PPRT dan rumah zakat asnaf sumbangan Affin Islamic Bank. Itu adalah antara yang saya usahakan. Saudara patut tanya pula kepada Pas, dalam masa 18 tahun memerintah Kelantan, malah menguasai Bachok dan Perupok sejak merdeka, apa yang parti itu dan wakil rakyatnya buat untuk rakyat Bachok. Kalau dikatakan saya tidak buat apa-apa untuk Bachok dan saya sudah jawab dan nyatakan senarainya, kini saya pula mahu tanya, apa yang dibuat oleh Pas di Bachok ini sejak merdeka kerana kawasan ini sebenarnya dikuasai mereka kecuali pada 1986 selama sepenggal oleh wakil Hamim. Apa yang dibuat oleh Pas dan apa mercu tanda projek Pas. Jadi jangan menidakkan apa yang BN buat di Bachok, kerana pada masa yang sama apa yang mereka buat langsung tidak kelihatan di sini.



Apa visi Datuk jika ditakdirkan menjadi MB bila BN diberi mandat.

Senang saja, saya mahu menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri makmur, rakyat Kelantan tidak susah nak cari makan, mempunyai peluang pekerjaan yang baik sama seperti negeri lain, mempunyai peluang perniagaan yang baik dan mendapat tempat sama seperti negeri lain dalam pembangunan serta kemajuan negara. Kita mahu kejayaan negara kita menjadi contoh kepada semua negara membangun lain dapat dikecapi rakyat Kelantan dalam negerinya sendiri. Bukannya rakyat Kelantan yang terpaksa berhijrah merebut peluang kemajuan negara ini di luar negeri, kerana saya ingin melihat rakyat Kelantan, meskipun tinggal di negeri ini, mereka juga mampu menjalani hidup yang baik dan lumayan, inilah kemakmuran. Sekarang kita tengok begitu ramai yang keluar kerana peluang lebih baik. Sebenarnya kita semakin kehilangan rakyat Kelantan, bila keluar dari negeri ini kerana generasi keduanya, anak mereka tidak akan lagi menjadi rakyat Kelantan, sebaliknya jadi rakyat Selangor atau Kuala Lumpur, jadi kita kehilangan rakyat Kelantan. Generasi pertama masih ada lagi, tetapi bila dah tua, generasi kedua hilang. Kalau kita anggarkan 300,000 rakyat Kelantan duduk di luar dan penduduk Kelantan kira-kira sejuta. Bila duduk di luar, lama kelamaan selepas ibu bapa mereka sudah tiada di Kelantan, mereka tidak balik lagi ke sini dan anak mereka sudah pasti tidak lagi menjadi anak Kelantan. Maknanya kita kehilangan rakyat Kelantan setiap tahun, sayangnya mereka ini mungkin orang yang mempunyai kebolehan dan kemampuan kerana kelayakan dan kelulusan yang baik serta pekerjaan yang baik.


Apa harapan Datuk kepada seluruh rakyat Kelantan pada 8 Mac ini.

Saya meminta mereka membuat pilihan bijak, memberi sokongan kepada semua calon yang diletakkan BN berdasarkan agenda yang diperjuangkan menerusi manifesto. Berilah peluang kepada BN, walaupun lima tahun tetapi berilah peluang untuk kita buktikan segala perancangan, harapan dan segala agenda yang kita yakin akan membawa Kelantan ke era lebih cemerlang dan gemilang. Kerana peluang yang diberikan kepada Pas sudah terlalu lama, kalau 18 tahun kita tidak nampak sangat perubahannya, sudah sampai masanya, untuk memberi lima tahun kepada BN bagi membuktikan keupayaannya. Selepas lima tahun nanti, rakyat Kelantan berhak menentukan sama ada BN berjaya atau tidak, boleh tentukan lagi sama ada mereka mahu teruskan kita atau sebaliknya. Saya selaku calon Menteri Besar jika BN diberi mandat, secara tulus dan seikhlas hati memohon seluruh rakyat Kelantan supaya memberi peluang kepada saya dan rakan daripada BN pada pilihan raya kali ini.

0 ulasan: