Sabtu, 1 Mac 2008

KERAJAAN BERI TUMPUAN KHUSUS ATASI KEMISKINAN TEGAR


BERITA HARIAN – ( 01-03-2008 )

HAKIKAT bahawa kerajaan sentiasa serius dalam menangani masalah kemiskinan tanpa mengira kaum sejak merdeka hingga kini perlu diakui. Sejak diperkenalkan program rancangan pembangunan negara pertama pada awal 1960-an sehingga Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang, isu kemiskinan rakyat terus diberi perhatian khusus. Walaupun statistik mengenai rakyat miskin semakin menurun, kerajaan tidak berdiam diri dan kini memberi penumpuan untuk mengatasi kumpulan miskin tegar walaupun jumlahnya kecil di seluruh negara. Dalam usaha kerajaan merapatkan jurang kemiskinan, pelbagai pendekatan sosioekonomi dilakukan dengan matlamat masalah kemiskinan dikurangkan kepada 2.8 peratus menjelang 2010. Dalam tempoh empat tahun lalu saja (2004-2007), melalui pembangunan berterusan, kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus daripada jumlah penduduk negara, manakala kadar kemiskinan keseluruhan pula menurun daripada 5.7 peratus kepada 3.5 peratus. Ini suatu kejayaan besar. Hasil pembangunan menyeluruh ke kawasan pedalaman yang sebelum ini terpinggir daripada arus pembangunan negara, usaha membasmi kemiskinan menampakkan kejayaan. Pembangunan pendidikan, tanah, kesihatan dan pertanian, berjaya membawa penduduk di kawasan terpinggir dan pedalaman ke arus pembangunan negara.

Langkah kerajaan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin, yang memperuntukkan sejumlah RM590 juta bagi membina rumah keluarga daif dalam tempoh RMK-9 bagi mengatasi kemiskinan tegar, akan pasti mempercepatkan lagi usaha mengecilkan nisbah kumpulan berkenaan di negara ini. Peruntukan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 12,950 keluarga daif (miskin tegar) di seluruh negara yang bakal disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Memang usaha menyediakan kemudahan tempat tinggal lebih selesa kepada penduduk miskin membantu keluarga mereka hidup lebih selesa dan memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar dalam suasana yang lebih kondusif. Apabila anak-anak dapat belajar dengan lebih baik, kecemerlangan mereka dalam pendidikan dapat ditingkatkan dan akhirnya mampu keluar daripada lingkaran kemiskinan yang dihadapi keluarga.

Menyediakan rumah lebih selesa kepada keluarga miskin adalah satu daripada pelbagai usaha kerajaan membantu golongan itu. Lebih penting lagi, usaha berterusan kerajaan untuk mengubah sikap rendah diri di kalangan rakyat miskin. Kita percaya revolusi mental, selain kejuruteraan sosial di kalangan kelompok berkenaan, sekiranya dilakukan dengan berkesan membantu mempercepat matlamat kerajaan untuk menghapus kemiskinan menyeluruh. Selain tumpuan diberikan kepada beberapa negeri di Semenanjung yang masih berdepan dengan kemiskinan tegar, Sabah dan Sarawak turut tidak dilupakan. Pembangunan penduduk miskin di Pulau Banggi, Sabah, adalah contoh jelas kerajaan cukup serius dalam menangani masalah kemiskinan tanpa mengira wilayah penempatan. Peruntukan besar sehingga RM3 bilion untuk kemudahan pendidikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah selain peruntukan RM12 bilion bagi pembinaan dan naik taraf sekolah di luar bandar, adalah bukti kerajaan tidak menyisihkan golongan itu. Hanya melalui pendidikan, masalah kemiskinan dapat diatasi, selain menyediakan mereka ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk membaiki sosioekonomi keluarga.

0 ulasan: