Isnin, 3 Mac 2008

PENGUNDI PERLU BIJAK PILIH PARTI TERBUKTI KEMAMPUAN


BERITA HARIAN : (02-03-2008)

TARIKH mengundi hanya tinggal seminggu. Ramai yang mengatakan kempen pada pilihan raya kali ini lain sedikit. Ramai yang berbisik mendakwa suasana tidak sehangat pilihan raya sebelum ini. Mungkin tempoh berkempen masih berbaki seminggu lagi, minggu ini pastinya kemeriahan akan dirasai.

Mungkin juga strategi calon, mereka mahu hangatkan kawasan masing-masing pada minggu terakhir menerusi poster yang terus dipasang. Ketika ditanya orang ramai dan rakan, ramai yang mengatakan poster muka calon memang sukar dilihat di kawasan mereka. Mereka lebih kenal nenek Maimun yang akan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Terengganu daripada calon mereka sendiri. Mereka mengingatkan calon supaya jangan salah strategi kerana mereka juga mahu mengenali calon di kawasan masing-masing supaya dapat memilih siapa layak mewakili mereka.

Mungkin ketika ini calon lebih suka menjalankan kempen dari rumah ke rumah bersemuka dengan pengundi bagi memperkenalkan diri. Cara ini memang sudah ternyata berjaya seperti dilakukan Wanita Umno sejak dulu. Mungkin minggu ini, kebanyakan calon, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun parti pembangkang lebih suka bertemu sendiri pengundi untuk menyampaikan poster atau memperkenalkan diri, terutama bagi calon muka baru.

Mengenai nenek Maimun yang berjaya mencuri tumpuan kerana mencatat sejarah sebagai calon paling tua, usianya sudah menghampiri 90 tahun. Nenek Maimun seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan, tujuh cucu dan 19 cicit. Setiap hari dia berbasikal menjual kain sehingga hari ini.

Rasanya nenek Maimun antara calon yang mendapat publisiti agak meluas, terutama yang disiarkan akhbar arus perdana. Seperti kata seorang calon kepada wartawan, beliau sendiri tidak dapat publisiti sebanyak itu. Bagi wartawan, nenek itu adalah bahan berita menarik yang jarang ditemui.

Jika dilihat kepada latar belakangnya, nenek Maimun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan ibu tunggal. Duit jualan dan bantuan itulah agaknya yang disimpan bertahun-tahun bagi mencapai impiannya bertanding pada pilihan raya. Selepas empat kali mencuba, akhirnya cubaannya bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 berjaya tanpa sebarang kesilapan dalam borang pencalonannya. Nenek Maimun dikatakan tidak berapa pandai menulis dan membaca. Mungkin itulah kesilapannya sebelum ini. Mungkin ada beberapa kriteria nenek Maimun yang boleh kita contohi, terutama ketabahannya untuk mencapai impian.

Nenek Maimun akan berdepan Datuk Razali Ismail (BN) yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Tidaklah diketahui sama ada nenek Maimun tahu kekuatan kedua-dua calon yang akan dihadapinya itu. Matlamatnya hanya mahu bertanding pada pilihan raya tanpa gusar akan kalah kerana katanya 'pitih (wang) boleh dicari.'

Namun, hati tersentuh apabila melihat beliau menampal poster dan menaiki basikal ke sana sini bersendirian tanpa teman. Tidak seperti calon lain yang akan diiringi ramai penyokong. Selalunya, pada usia begini, nenek 'biasa' bermain-main bersama cucu, selain menjalankan aktiviti dengan rakan seusia mereka.

Akhirnya pada Sabtu depan, siapa pemimpin pilihan anda. Adakah kita mahu pemimpin yang 'biasa' saja atau mahukan wakil yang boleh berbahas dan membincangkan masalah rakyat di Parlimen dan bersama-sama menggubal undang-undang bagi memastikan kehidupan kita terus aman dan makmur, selain kebajikan yang terjamin. Kepada pengundi baru, gunakan undi dengan bijak dengan memilih hanya parti yang sudah membuktikan keupayaan dan kewibawaannya selama ini. yatisaid@bharian.com.my

0 ulasan: