Isnin, 3 Mac 2008

10 TERAS MANIFESTO BN KELANTAN


BERITA HARIAN : (02-03-2008)

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan semalam melancarkan manifesto tambahan, janji untuk membawa kesejahteraan dan kesenangan kepada seluruh rakyat Kelantan jika parti itu diberi mandat pada 8 Mac ini.

Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata manifesto dengan 10 teras utama itu merangkumi peruntukan RM10 bilion secara keseluruhan adalah paling terperinci serta mencakupi pelbagai aspek dan semua lapisan rakyat.

Beliau berkata, BN mampu memenuhi semua janji dalam manifesto tambahan itu kerana ia mendapat sokongan kerajaan Pusat selepas dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Manifesto ini mencakupi semua lapisan masyarakat yang dilihat mampu membawa perubahan besar kepada Kelantan, sekali gus menjaminkan kesejahteraan dan kesenangan rakyatnya.

"Selaku bakal Menteri Besar jika BN diberi mandat, saya dibantu barisan pemimpin BN yang memberi komitmen penuh untuk menjayakan manifesto ini seperti dijanjikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto BN Kelantan bertajuk Kelantan Baru-Kelantan Maju 2008, Agenda Untuk Perubahan, di Bangunan Umno Negeri, di sini, semalam.

Terdahulu pada majlis itu, manifesto 22 muka surat itu dibentang dan diperincikan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ramzi Ab Rahman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed serta semua calon BN di Kelantan.

Manifesto itu berpaksikan kepada 10 teras utama dengan tiga daripadanya adalah agenda nasional, manakala tujuh lagi teras utama untuk Kelantan.

Katanya, tujuh teras utama digariskan untuk Kelantan termasuk melaksanakan pendekatan Islam Hadhari yang mampu menjana kemajuan, merakyatkan pembangunan, menggilap modal insan dan menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh tiga tahun selepas kerajaan baru BN dilantik.

BN juga berhasrat menghapuskan imej Kelantan ketinggalan di mata rakyat, mempelbagaikan sumber ekonomi negeri dan merakyatkan seni, budaya, sukan dan warisan Kelantan. Manifesto itu turut mengetengahkan 16 rawatan yang akan dilakukan BN terhadap segala kepincangan sepanjang 18 tahun Kelantan di bawah Pas.

Dr Awang Adek berkata, pelancaran manifesto itu yang dilakukan semalam ketika kempen pilihan raya memasuki minggu kedua adalah strategi BN untuk mengejutkan lawan.

Katanya, BN mempunyai strategi dalam memperkenalkan manifesto itu dan tidak hendak mengumumkannya terlalu awal kerana ia sememangnya mempunyai unsur kejutan.

"Bila BN membuat strategi begini, lawan tidak berupaya melakukan sebarang tindakan drastik disebabkan banyak perancangan hebat akan dilakukan BN apabila menang.

"Parti lawan tidak berkemampuan berbuat demikian kerana mereka tidak mempunyai peruntukan besar sedangkan kita mampu ekoran sokongan kuat Kerajaan Pusat.

"Oleh itu, rakyat Kelantan harus yakin bahawa hanya BN tempat mereka bergantung harapan. Jangan bergantung kepada satu dua individu kerana ia tidak dapat bertahan lama," katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan manifesto itu, Annuar meminta seluruh jentera BN berkempen dan menyebarkan kandungan manifesto itu bagi memastikan ia difahami seluruh rakyat Kelantan.

"Jangan simpan manifesto yang diberi dalam pejabat atau stor, sebaliknya sebar kepada rakyat di mana juga mereka berada supaya memahami matlamat dan tawaran BN pada pilihan raya ini.

"Sepanjang minggu ini, semua calon BN perlu berkempen menggunakan kandungan manifesto ini untuk menarik sokongan rakyat demi kesenangan hidup mereka apabila memilih BN kelak," katanya.

0 ulasan: