Isnin, 3 Mac 2008

EMPAT TERAS MANIFESTO BN DITERIMA RAKYAT


BERITA HARIAN : (02-03-2008)

Masyarakat pelbagai kaum lebih yakin hala tuju, wawasan dan komitmen kepemimpinan sekarang

MANIFESTO pilihan raya bagi sesetengah orang mungkin tidak penting, malah ada yang tidak membaca dokumen yang sebenarnya amat penting. Bagaimanapun, belum terlambat untuk setiap rakyat meneliti manifesto yang dikemukakan setiap parti politik, sama ada Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang. Bagi yang tidak berkesempatan, manifesto sebenarnya dapat dilihat dalam ucapan penceramah parti politik, tetapi diambil secara terpilih. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, mendapatkan pandangan pengkaji politik, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapat ulasan terperinci mengenai peranan dan pengaruh manifesto dalam pilihan raya umum.

SEJAK pilihan raya pertama pada 1955 dan kemudian pilihan raya umum pertama pasca kemerdekaan pada 1959, manifesto pilihan raya adalah perkara wajib. Apakah kepentingan manifesto?

Manifesto pilihan raya penting kerana dua sebab utama. Pertama, ia adalah janji dan komitmen parti politik yang bertanding mengenai perkara yang akan mereka lakukan sekiranya dipilih rakyat untuk memerintah.

Kedua, ia menunjukkan landasan dan wawasan kepemimpinan sesebuah parti untuk membawa hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang jika parti itu dipilih untuk memerintah.

Memang benar manifesto adalah janji politik, tetapi janji ini adalah satu dokumen yang boleh dilihat dan dinilai oleh rakyat kemudiannya, sama ada parti yang menang dan membentuk kerajaan melaksanakan apa yang dijanjikan atau sebaliknya.

Apakah ada perbezaan manifesto Barisan Nasional (BN) sejak zaman Perikatan hingga yang digunakan dalam pilihan raya umum kali ini?

Saya tidak nampak ada perbezaan ketara penggunaan manifesto BN sejak zaman Perikatan hingga kini. Sejak dulu lagi, walaupun dengan bahasa dan penekanan berbeza, manifesto BN hanya tertumpu kepada empat perkara. Inilah kekuatan BN yang sentiasa digunakan untuk memenangi hati rakyat.

Empat perkara berkenaan ialah perpaduan dan hubungan kaum, permuafakatan serta kerjasama politik antara kaum, kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara dan akhirnya mengekalkan kestabilan politik.

Hingga setakat ini, teras manifesto BN diterima rakyat sebagai yang terbaik berbanding manifesto parti lain. Penerimaan inilah yang menyebabkan BN kekal memerintah hingga Dewan Rakyat dibubarkan pada 13 Februari lalu.


Bagaimana dengan manifesto parti pembangkang?

Manifesto pembangkang sama saja, iaitu dibuat untuk menarik sokongan rakyat terhadap parti masing-masing. Seperti BN, parti pembangkang juga menyediakan manifesto mereka mengikut keperluan semasa.

Jika BN menumpukan kepada empat perkara teras yang saya sebutkan tadi, pembangkang pula menjanjikan perkara berkaitan isu semasa, ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat. Jadi, bezanya dengan BN ialah jika manifesto BN lebih menekankan kepada keperluan negara, parti pembangkang pula membawa manifesto mereka dengan lebih menekankan kepada soal keperluan rakyat.

Satu lagi yang menarik mengenai manifesto pembangkang ialah persamaan di kalangan mereka dalam memperjuangkan isu sejagat berkaitan keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia. Janji pembangkang dalam aspek ini amat menarik untuk diperhatikan, sama ada ia dapat menandingi empat teras utama manifesto BN yang saya sebutkan tadi atau sebaliknya.

Adakah manifesto parti pembangkang ini bernilai kerana ramai yang tahu ia tidak akan mampu membentuk kerajaan?

Saya tidak katakan manifesto pembangkang tidak bernilai. Manifesto semua parti adalah bernilai. Bagaimana kita hendak katakan tidak bernilai jika apa yang diperjuangkan itu menjanjikan kesejahteraan masyarakat, keadilan untuk rakyat, mewujudkan sistem kehakiman yang berintegriti. Saya fikir itu mustahak. Cuma yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah manifesto pembangkang itu dapat direalisasikan? Bolehkah mereka laksanakan? Mampukah mereka memenangi pilihan raya ini?

Masyarakat kita malas membaca. Adakah manifesto pilihan raya menerima nasib yang sama?

Rakyat mungkin tidak membaca dan cuba memahami manifesto setiap parti secara mendalam. Jika mereka tidak membacanya, tetapi saya tidak mengatakan masyarakat kita malas membaca. Cuma masyarakat kita tidak membaca manifesto kerana berasakan tidak perlu menentukan pendirian dan sikap politik mereka.

Oleh itu, bagi membolehkan rakyat faham hala tuju dan janji parti masing-masing, maka menjadi tugas penceramah menyampaikannya dalam bentuk yang lebih mudah kepada rakyat. Bagi penceramah politik, manifesto perlu dibaca kerana ia adalah panduan kepada mereka ketika berceramah untuk menyampaikan hasrat parti kepada pengundi.

Bagaimanapun, manifesto penting kepada pemerhati dan pengkaji politik kerana ia dokumen yang perlu digunakan untuk dianalisis. Manifesto hari ini akan dinilai semula dalam pilihan raya akan datang untuk melihat sama ada janji politik hari ini ditunaikan atau sebaliknya dalam empat atau lima tahun dari sekarang.

Selepas 11 pilihan raya umum, adakah BN yang menguasai kerajaan menunaikan janji manifesto?

Secara peribadi, saya tidak mahu mana-mana parti menawarkan manifesto yang keliru. Manifesto bukan sekadar harapan dan janji politik. Manifesto adalah komitmen parti politik dan perlu bersifat jangka pendek kerana rakyat lebih suka melihat kesan segera kepada janji diberikan itu.

Sebaik-sebaiknya, selesai saja pilihan raya, janji politik itu ditunaikan segera sebelum pilihan raya yang akan datang. Tidak perlu kita berjanji hari ini untuk satu perancangan yang akan kita laksanakan 10 tahun dari sekarang.

Manifesto DAP menawarkan bonus RM6,000 kepada setiap isi rumah. Ini pun kesan segera?

Pada saya, janji sebegini seperti mengail di daratan. Secara logik, jika hendak mengail biarlah di sungai yang umpannya dimakan ikan. Oleh itu, janji seperti ini bukan kesan segera yang maksudkan.

Yang saya maksudkan kesan segera ialah isu lain yang lebih penting yang boleh dan perlu di ketengahkan. Antaranya, janji politik yang lebih substantif seperti isu sejagat berkaitan keadilan, demokrasi, kesetaraan, kebebasan, kesejahteraan hidup dan kestabilan politik yang lebih diperlukan oleh rakyat dan negara.

Misalnya, katakanlah kalau DAP menang, maka akan dihapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Universiti dan Akta Kolej (AUKU), itu lebih logik dan menampakkan kesan segera. Isu yang remeh perlu diketepikan dalam manifesto.

Apakah manifesto BN lebih memberi impak?

Saya jelaskan pada awal bahawa manifesto BN kukuh berdasarkan kepada empat asas utama, iaitu mengekalkan kestabilan politik negara, memakmurkan ekonomi dan kehidupan rakyat, menjaga keharmonian hubungan kaum dan mewujudkan kerjasama politik antara kaum.

Dengan janji inilah sejak merdeka hingga sekarang, BN dapat memenangi hati rakyat untuk terus menyokongnya kerana kekuatan ini tidak ada dalam manifesto dan keupayaan pembangkang.

Begitupun, saya fikir ada beberapa persoalan lain yang perlu diberi perhatian juga seperti demokrasi, keadilan, kehakiman dan hak asasi rakyat.

Dari segi teori, tidak maju sesebuah negara itu tanpa pemerintahan demokratik yang mendokong dua unsur utama, iaitu kebebasan dan kesetaraan. Jika begitu, bagaimana dengan hasrat kita untuk mewujudkan sebuah negara maju pada 2020 nanti.

Dari segi rasional, pembangkang boleh berjanji macam-macam kerana tahu tidak akan mampu memerintah. Untuk menarik pengundi, manifesto pembangkang menjanjikan sesuatu yang membahagiakan rakyat?

Sekadar berjanji dan memberikan harapan, itu politik main-main. Saya tidak fikir ada parti yang tidak serius dan sekadar berjanji untuk membahagiakan rakyat, tetapi tidak mampu melaksanakannya. Cuma dalam konteks janji ini, saya boleh katakan sukar untuk pembangkang laksanakan janji politiknya kerana pembangkang tidak mempunyai harapan yang besar untuk memenangi pilihan raya dengan pendekatan politik sekarang.

Bagaimana nak menang pilihan raya kalau pembangkang tidak mempunyai banyak cawangan parti, jentera parti lemah, menghadapi kekangan kewangan dan media perdana pula tidak memberi liputan meluas kepada pembangkang.

Cuma persoalannya, kalau pembangkang boleh memberi janji dalam manifesto mereka biarpun tahu tidak boleh memerintah, kenapa BN tidak boleh memberi komitmen lebih baik untuk memakmurkan rakyat dan negara berbanding pembangkang.

Misalnya, jika pembangkang menawarkan negara kebajikan, kenapa BN tidak boleh menawarkan negara workfare?

Saya hairan seperti sekarang, ketika pembangkang bercakap mengenai keadilan, hak asasi manusia dan demokrasi terhakis, mengapa manifesto BN tidak boleh memberikan komitmen untuk menangani masalah ini secara lebih baik. Mengapa BN tidak berani menjawab persoalan itu melalui manifesto? Ini yang saya nampak kekurangan manifesto BN sejak dulu hingga sekarang.

Bagaimanapun, saya yakin dari segi keupayaannya memerintah Malaysia yang majmuk ini. Rakyat tetap memerlukan kerajaan yang mengandungi parti pelbagai kaum seperti BN, tetapi ada perkara lain yang kita perlu perbaiki. Perkara inilah yang perlu disuarakan supaya kita boleh bergerak ke depan. Kalau kita berterusan pada tahap ini, sukar kita mencapai tahap negara maju pada 2020.

Tidak seperti pilihan raya umum sebelum ini, manifesto Pas kali ini tidak menyentuh perjuangan menegakkan negara Islam. Apakah sebenar berlaku?

Dari satu aspek, tindakan Pas adalah dinamika politik yang menunjukkan strategi dan pendekatan politik boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Jika atas hujah ini, tindakan Pas adalah biasa saja kerana konsep negara Islam boleh dinyatakan, sama ada secara tersirat atau tersurat dalam manifesto.

Namun, dari segi lain, ini menunjukkan Pas menyedari hakikat sebenar politik negara, bahawa untuk menang dalam pilihan raya, tidak boleh bergantung kepada sokongan satu kaum saja.

Tidakkah ini menunjukkan Pas mengorbankan prinsip perjuangan demi mencapai kemenangan?

Prinsip perjuangan mana-mana parti pun adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan bagi membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat. Pas juga tidak terkecuali dalam hal ini. Negara Islam hanya satu alat untuk mencapai matlamat.

Persoalan yang perlu dijawab ialah, kenapa Pas tidak lagi menjadikan negara Islam sebagai alat perjuangannya? Apakah Pas sudah tidak yakin kepada konsep negara Islamnya atau pertimbangan lain? Apakah Pas mengambil kira perkiraan ini ketika menggugurkan konsep negara Islamnya? Inilah yang perlu dijawab.

Saya fikir Pas bertindak begini kerana ia sedar politik tidak boleh bergantung kepada satu isu dan satu kaum saja. Untuk menang dalam pilihan raya, ia terpaksa mendapat sokongan kaum lain.

Menyedari hakikat itu, barangkali Pas mengambil pendekatan lebih taktikal untuk mengubah manifestonya daripada sesuatu yang hanya untuk satu kaum kepada yang bersifat sejagat dan merentasi sempadan kaum serta agama.

Dari segi mengorbankan prinsip perjuangan, sukar untuk saya komen tetapi yang pasti dalam politik, kita tidak bercakap mengenai keikhlasan, tetapi komitmen. Apakah Pas masih komited menegakkan negara Islam yang ia perjuangkan sejak dulu? Pengundilah yang akan menjawab persoalan ini pada 8 Mac ini.

Selepas dibaca atau diketahui, meskipun secara terpilih dan difahami, sejauh manakah manifesto memberi kesan kepada pengundi untuk memilih parti pada hari pengundian?

Di negara Barat yang demokratik, manifesto memberi kesan yang cukup ketara kepada parti politik dan calon yang bertanding kerana pilihan raya ialah mengenai persaingan dasar. Lagipun, manifesto akan dibahas dan didebat secara terbuka oleh calon dan parti bertanding untuk membolehkan rakyat membuat pilihan.

Di Malaysia, walaupun manifesto penting, selain faktor imej parti, wibawa calon, kemantapan jentera pilihan raya, kewangan, media massa, dan imej perpaduan menentukan kemenangan sesuatu parti dalam pilihan raya, manifesto tidaklah sepenting di negara Barat.

Di Malaysia, manifesto dilihat bukan sebagai dasar, tetapi sekadar janji, azam dan landasan hala tuju yang hendak dibawa oleh parti politik jika dipilih rakyat untuk memerintah. Jadi, jawapan saya mengenai keberkesanan manifesto di Malaysia dilihat dalam konteks ini, iaitu janji politik.

Di Malaysia, manifesto penting untuk menarik sokongan pengundi atas pagar. Misalnya, sekarang pengundi atas pagar lebih tertarik kepada janji pembangkang kerana menawarkan lebih banyak bentuk kebajikan, tetapi pengundi tradisi memahami lebih jauh, iaitu kestabilan. Itu yang ditawarkan oleh BN yang tiada pada pembangkang.

Selain itu, manifesto penting untuk membolehkan rakyat mengetahui mengenai faedah yang akan diperoleh apabila mengundi sesuatu parti. Selebihnya, saya tidak melihat manifesto sebagai faktor penting dalam menentukan sikap pengundi.

Terakhirnya, apa pesanan kepada pengundi untuk mengundi nanti?

Saya meminta kepada semua warga negara yang layak mengundi ramai-ramai keluar mengundi pada 8 Mac ini bagi memilih parti yang dirasakan terbaik untuk memerintah negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang. Ingatlah, masa depan negara terletak pada undi kita.

0 ulasan: