Isnin, 3 Mac 2008

PAS TOLAK PEMBANGUNAN


BERITA HARIAN : (02-03-2008)

PM kecewa tindakan pembangkang tidak mahu menerima ECER

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal dengan kenyataan pimpinan kerajaan Pas Kelantan yang dikatakan menolak rancangan pembangunan oleh Kerajaan Pusat untuk memaju dan memakmurkan rakyat di negeri itu.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan bahawa pimpinan Pas Kelantan tidak mahu menerima pembangunan yang dirancang Kerajaan Pusat termasuk pelan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER) kerana mereka percaya pembangunan fizikal akan meningkatkan kos kehidupan dan gejala sosial.

Abdullah kesal dengan kenyataan yang jelas menunjukkan pemimpin Pas masih kekal dalam pemikiran jumud dan tidak mahu berubah ke arah kebaikan.

“Baru-baru ini, saya dengar kepimpinan kerajaan Kelantan sekarang ini menyatakan buat apa pembangunan besar,...tidak payahlah begitu kalau pembangunan berlaku akan tinggi kos kehidupan dan akan ada macam-macam masalah, tidak payah buat dan biarlah hidup macam ini. Itu pun cukup dan kita boleh senang hati.

“Saya hairan perkataan ini keluar daripada mulut pemimpin Pas Kelantan, seolah-olah tidak mahu negeri itu maju. Mereka rela Kelantan berada dalam keadaan sekarang sampai bila-bila. Saya sungguh kesal dan sedih nasib yang akan menimpa rakyat Kelantan jika Pas terus memerintah.

“Saya tidak dapat terima (kenyataan itu) kerana ia keluar daripada pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam (dan) ia menunjukkan seolah-olah parti Islam tidak mahu sebarang kemajuan dan kecemerlangan untuk rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan anjuran Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, malam tadi.

Kira-kira 15,000 anak Kelantan di perantauan hadir pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa; Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Pengerusi MKK, Datuk Dr Noordin Abd Razak.

Sehubungan itu, Abdullah melontarkan cabaran kepada rakyat Kelantan supaya membuat perubahan dan keluar daripada kejumudan yang membelenggu pemikiran pemimpin kerajaan Pas sekarang.

“Tidak semestinya jika ada pembangunan semua kos akan naik dan semua orang akan jadi jahat (gejala sosial).

“...kemajuan memang akan membabitkan kos tetapi ia adalah kos yang mampu kita tampung bergantung kepada keupayaan kita untuk mengawal dan mengekangnya menerusi dasar dan pengurusan ekonomi mapan,” katanya.

Sambil memberi contoh, Abdullah berkata, dahulu rakyat boleh membeli sebuku roti pada harga 20 sen, tetapi ketika itu tiada kemudahan lain yang boleh dinikmati. Bilangan mereka yang berkereta terlalu kecil, tiada bekalan elektrik dan air dan kemudahan prasarana lain.

Abdullah berkata, kemajuan akan disertai dengan peningkatan kos hidup tetapi kerajaan akan memastikan ia dapat diurus dan dikawal dengan baik menerusi dasar ekonomi mapan.

“Saya harap rakyat Kelantan tidak menerima pemikiran tidak munasabah yang tidak boleh dipakai pada waktu ini,” katanya sambil menambah kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji membawa pembangunan pesat di Kelantan tetapi kos masih terkawal.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengajak rakyat Kelantan yang berada di luar negeri itu kembali mengundi pada 8 Mac ini, bagi merealisasikan agenda pembangunan yang sudah dirangka kerajaan BN.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat negeri itu bertindak dan membuat keputusan bersejarah bagi menukar pentadbiran kerajaan negeri selepas 18 tahun terpinggir daripada arus perdana pembangunan kerana berada di bawah kerajaan Pas.

0 ulasan: