Isnin, 3 Mac 2008

TUN : BN BOLEH RAMPAS KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA : ( 02-03-2008 )

JITRA 1 Mac - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) boleh merampas kembali Kelantan daripada Pas jika semua pihak di setiap peringkat berusaha gigih pada pilihan raya kali ini.

Menurut bekas Perdana Menteri, bukan perkara mustahil bagi BN untuk menang di Kelantan yang berada di bawah Pas sejak 18 tahun lalu.

"Dengan kerja kuat, mungkin kita boleh menang," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan jentera pilihan raya BN Bahagian Jerlun di sini malam tadi.

Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan, beliau tidak akan menjelajah ke seluruh negara termasuk ke Kelantan bagi berkempen kepada calon-calon BN yang bertanding.

Tetapi, ujar bekas Perdana Menteri, beliau sedia memberikan khidmat nasihat jika ia diperlukan.

"Di Jerlun pun saya tidak berkempen, saya cuma menawarkan khidmat nasihat," katanya.

Ketika ditanya mengenai hasrat Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail mahu melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berjaya mempertahankannya, Dr. Mahathir berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh berbuat demikian tetapi perlu berhenti terlebih dahulu.

''Namun, ia belum tentu menjamin kemenangan Anwar di situ," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2007, beliau berkata, ia menunjukkan petanda baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita bersyukur dengan pertumbuhan yang baik itu dengan harga komoditi tempatan seperti minyak sawit juga mencecah harga yang tinggi. Semua ini memberi pulangan yang baik kepada pengeluar dan negara," katanya.

0 ulasan: