Rabu, 5 Mac 2008

SPR BATAL TANDA DAKWAT


BERITA HARIAN – (05-03-2008)

Polis kesan cubaan tipu babitkan empat individu di tiga negeri

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini atas faktor perundangan, ketenteraman dan keselamatan awam.

Keputusan itu dibuat selepas SPR menerima laporan daripada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) berhubung empat individu yang dikatakan sudah membeli dakwat khas dari luar negara untuk dicalit pada kuku pengundi sebelum hari pengundian.

Empat kes berasingan itu dilaporkan antara 16 hingga 21 Februari lalu, iaitu dua kes di Perlis serta masing-masing satu kes di Kedah dan Kelantan. Kes yang diklasifikasikan sebagai cubaan menipu oleh empat lelaki berusia antara 33 tahun hingga 40-an itu sedang disiasat polis.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata SPR memandang serius beberapa masalah undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam yang dikenal pasti boleh berlaku jika cadangan menggunakan dakwat khas dilaksanakan.

"Proses pengundian serta ketenteraman dan keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi. SPR amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini.

"Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian, dan demi ketenteraman dan keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini," katanya pada sidang media di Pusat Media SPR di sini, semalam.

Turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, siasatan awal polis mendapati pihak yang terbabit cuba menimbulkan kekeliruan ketika pilihan raya ini dan disebabkan itu polis menghantar laporan kepada (SPR) bagi mereka menimbangkan penggunaannya, Sabtu ini.

"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai cubaan menipu dan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan sedang menyiasat," katanya.

SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan pada pilihan raya umum. Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.

Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak berikutan pelbagai desakan oleh parti politik selepas pilihan raya umum 2004, supaya SPR menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.

Abdul Rashid berkata, kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

"Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan ada pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.

"Jika pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status mereka. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa," katanya.

Beliau berkata, pembatalan itu juga disebabkan peruntukan undang-undang perlu digubal bagi mengadakan peruntukan yang membenarkan pengundi yang kukunya dicalit dan pengundi yang enggan berbuat demikian, diberikan kertas undi.

Jika tanda dakwat itu hendak diperkenalkan, ia tidak boleh menjejaskan hak pengundi untuk mengundi selaras Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang bermakna hak pemilih berdaftar tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi mengikut undang-undang.

"Peruntukan undang-undang yang perlu digubal didapati tidak akan mencapai maksud asal SPR memperkenalkan penggunaan tanda dakwat itu. Berdasarkan cadangan asalnya, seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat tidak boleh diberi kertas undi.

"Dari sudut praktiknya, jika SPR masih perlu memberikan kertas undi kepada pengundi sedemikian, kaedah tersebut tidak akan membawa makna atau memberi kesan positif, malah berpotensi besar menimbulkan perselisihan faham serta pertengkaran dan pergaduhan di tempat mengundi," katanya.

0 ulasan: