Rabu, 5 Mac 2008

JUAL PROJEK, HUTANG LAPUK RM100 JUTA ANTARA CALON BN


HARAKAH – (05-03-2008)

KOTA BHARU, 4 Mac (Hrkh) - Mereka yang menjual projek yang dianugerah kerana hubungan politik, mempunyai hutang lapuk sehingga RM100 juta dan disenaraihitam oleh bank adalah antara yang dicalonkan oleh Barisan Nasional di Kelantan dalam pilihan raya kali ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa mendedahkan perkara itu ketika ditanya selepas sidang media hariannya di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama mereka walaupun "beberapa pendedahan mengenai perkara itu telah pun disiarkan oleh media".

Sebelum itu, dalam sidang medianya, beliau mengingatkan rakyat Kelantan bahawa tindakan memberikan undi kepada BN samalah seperti "menyuruh semut menjaga gula".

"Bolehkah kita suruh semut menjaga gula?" beliau bertanya.

Beliau dipercayai merujuk kepada calon-calon yang mempunyai rekod perniagaan yang buruk itu.

Merujuk kepada perkara yang sama dalam ceramahnya di Machang semalam, Husam mengulangi ingatan kepada para pengundi di Kelantan bahawa mengundi calon-calon yang dikemukakan oleh BN di Kelantan boleh membawa bencana kerana hampir kesemuanya adalah para peniaga.

Sambil berpesan kepada rakyat Kelantan supaya jangan memilih calon yang menjual negeri, beliau juga mengingatkan mereka tentang latar belakang calon-calon yang mencurigakan itu berdasarkan rekod perniagaan mereka yang buruk.

"Kalau projek pun mereka jual, takkan negeri mereka tak jual," kata Husam.

Sambil merujuk kepada dakwaan Barisan Nasional untuk memelihara agama Islam di Kelantan, beliau juga mempersoalkan bolehkah orang-orang seperti itu diharapkan untuk menjaga Islam?

Turut berucap dalam ceramah tersebut ialah Penasihat KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon KeADILan bagi kawasan parlimen Machang, Saifuddin Nasution. Turut hadir ialah calon-calon bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Machang.

Lautan ribuan manusia membanjiri majlis ceramah tersebut.

0 ulasan: